KUALA LUMPUR - Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4 Center) mencadangkan empat pembaharuan bagi memperkukuh pemantauan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan tujuan meningkatkan ketelusan dan tadbir urus institusi itu.
Ketua Pegawai Eksekutif C4 Center, M Pushpan berkata, cadangan itu termasuk memperluaskan bidang kuasa Ombudsman Malaysia, menubuhkan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen untuk menyelia SPRM, serta menstruktur semula badan pemantau sedia ada supaya lebih berkesan.
Selain itu, beliau menekankan perlunya memisahkan jawatan Peguam Negara dan Pendakwa Raya Awam bagi memastikan proses pendakwaan bebas daripada campur tangan eksekutif.
“Walaupun terdapat beberapa badan yang ditugaskan memantau operasi SPRM, seperti Badan Penasihat Pencegahan Rasuah, Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah dan Jawatankuasa Aduan, fungsi mereka terhad kepada nasihat sahaja, tanpa kuasa menyiasat atau menguatkuasakan tindakan.
“Laporan terbaharu C4 Center meneliti keberkesanan mekanisme semak dan imbang SPRM serta menonjolkan kelemahan struktur utama yang mendedahkan kekurangan dari segi akauntabiliti dan pemantauan,” katanya ketika sidang akhbar C4 Centers’ Examining the Malaysian Anti-Corruption Commission’s Oversight Mechanism Report Launch di sini pada Isnin.
Pushpan berkata, laporan itu menyoroti kelemahan meluas dalam pengawasan SPRM, termasuk keterbatasan kuasa badan pemantau serta tiada kewajipan SPRM untuk memberi respons terhadap dapatan mereka.
Beliau menambah, kewujudan pelbagai badan pemantauan tidak semestinya membawa kepada akauntabiliti yang bermakna, aktiviti pemantauan tidak telus, dan tanggungjawab terpecah-pecah merentasi organisasi dengan kuasa terhad.
“SPRM tidak diwajibkan untuk memberi respons atau justifikasi terhadap dapatan pemantauan. Tiada satu pun daripada lima badan pemantauan mempunyai kuasa menyiasat salah laku, memaksa pengemukaan bukti atau mengenakan tindakan.
“Perdana Menteri juga mempunyai kawalan ke atas pelantikan ke SPRM, badan pemantauannya serta Pejabat Peguam Negara. Kriteria pelantikan badan pemantau adalah kabur dan bersifat subjektif, sekali gus membuka ruang kepada pemilihan secara budi bicara,” katanya.
Pushpan menegaskan, istilah ‘badan pemantauan’ agak mengelirukan kerana setiap organisasi hanya berperanan memberi nasihat, manakala pelaksanaan sepenuhnya bergantung kepada budi bicara SPRM.
Beliau turut merujuk beberapa kes berprofil tinggi sebagai contoh keterbatasan mekanisme pemantauan, termasuk kematian Teoh Beng Hock, skandal 1MDB, isu pegangan saham Ketua Pesuruhjaya SPRM, serta pengabaian laporan Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah.
Menurut Pushpan, langkah pembaharuan yang dicadangkan penting untuk meningkatkan keyakinan awam terhadap SPRM, selain memastikan institusi itu beroperasi secara telus dan bertanggungjawab.