SEREMBAN - Prosiding perbicaraan kes pemilik syarikat pelancongan dan umrah yang didakwa menipu seorang lelaki berkaitan pakej umrah yang melibatkan kerugian lebih RM115,0000 terpaksa ditangguhkan selepas tertuduh tidak hadir kerana mengalami sakit gout.
Perkara itu dimaklumkan peguam, Mohamed Musthafa yang mewakili tertuduh, Muzzamil Soliheen Musa, 48 kepada Hakim, Mohamad Kamil Nizam di Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin.
Beliau memaklumkan yang anak guamnya mendapat cuti sakit akibat masalah kesihatan.
"Jam 12.30 tengah malam tadi saya baru dimaklumkan oleh tertuduh yang dia mendapat cuti sakit (MC) hari ini dan esok kerana sakit gout," katanya.
Sepatutnya prosiding perbicaraan berlangsung pada 26 Januari dan 27 Januari ini.
Mahkamah menetapkan tarikh baharu perbicaraan pada 7 dan 8 Julai depan serta meminta pihak pembelaan mengelak penangguhan pada tarikh akan datang memandangkan kes tersebut pada 2024.
Pihak pembelaan kemudian memberi jaminan bahawa kes tersebut akan diselesaikan dalam masa terdekat.
Sebelum ini, media melaporkan pada 2 Februari 2024, Muzzamil Soliheen mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan menipu lelaki berusia 53 tahun sehingga mendorong mangsa menyerahkan wang RM115,030 pada 23 Januari hingga 30 Januari 2023 di sebuah syarikat di Nilai di sini.
Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dan sebatan dan denda.
Pihak pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nadia Ezzati Mohd Zainal.