KUALA LUMPUR – [KEMAS KINI] Bekas Panglima Tentera Darat (PTD), Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan membuat dua laporan polis terhadap aktivis Pembela Tanah Air (Peta), Chegubard susulan dakwaan pendedahan maklumat peribadi dan tuduhan tidak berasas.
Peguamnya, Aizul Rohan Anuar berkata, anak guamnya mendakwa Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard telah memuat naik satu hantaran berkaitan maklumat perbankan di laman sosial Facebook pada 19 Disember tahun lalu.
"Chegubard telah membocorkan maklumat perbankan milik Muhammad Hafizuddeain yang mengandungi beberapa transaksi yang dinafikan, selain menyatakan bahawa penyebaran data berkenaan adalah menyalahi undang-undang di bawah seliaan Bank Negara Malaysia (BNM).
"Beliau (Muhammad Hafizuddeain) turut mengesyaki kemungkinan terdapat penglibatan daripada mana-mana pegawai BNM serta dua institusi perbankan berkaitan pembocoran maklumat peribadi yang didakwa miliknya," katanya dalam sidang akhbar di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di sini pada Isnin.
Ketika sidang akhbar berkenaan, Muhammad Hafizuddeain masih berada dalam IPD Dang Wangi bagi proses merakam keterangan berhubung laporan yang dibuat.
Terdahulu, Muhammad Hafizuddeain tiba di IPD Dang Wangi bersama peguamnya itu pada jam 12.30 tengah hari untuk membuat laporan polis.
Aizul Rohan berkata, dalam satu lagi laporan, Muhammad Hafizuddeain turut membuat laporan berhubung dirinya yang memiliki serta memakai jam tangan mewah berjenama Patek Phillipe.
"Dakwaan itu palsu dan mengelirukan kerana jam tangan itu adalah jam rasmi dikeluarkan Tentera Darat Malaysia (TDM) yang tertera 'Chief Of Army'.
"Gambar bahagian hadapan dan belakang sudah didedahkan dan membuktikan dakwaan itu adalah tidak benar dan dimanipulasikan," katanya.
Aizul berkata, anak guamnya turut bercadang untuk mengambil tindakan sivil terhadap Chegubard, BNM dan dua institusi perbankan berhubung pendedahan maklumat itu.
"Untuk tindakan selanjutnya, kami akan menunggu hasil laporan siasatan polis dan sebarang tindakan adalah berdasarkan bukti yang bakal diperoleh.
"Dari situ, kita akan tahu perkara sewajarnya yang akan dilakukan untuk mengambil tindakan sivil," katanya.