RCI Batu Puteh: Rayuan Tun M ditangguh tarikh lain

Iklan
Dr Mahathir

PUTRAJAYA - Prosiding pendengaran rayuan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad agar beliau dan peguamnya dibenarkan hadir dalam prosiding Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Kedaulatan Batu Puteh di Mahkamah Rayuan pada Isnin, ditangguhkan ke tarikh lain.

Peguam, Muhammad Rafique Rashid Ali berkata, prosiding ditangguhkan selepas mahkamah membenarkan permohonan penangguhan Dr Mahathir pada Khamis minggu lalu.

Iklan
Iklan

Beliau yang mewakili bekas ahli politik itu berkata, alasan untuk menunda prosiding dibuat kerana salah seorang peguam mereka iaitu Zainur Zakaria sedang berehat selepas menjalani prosedur 'endovascular aneurysm repair' baru-baru ini.

“Kami juga dimaklumkan bahawa pihak Jabatan Peguam Negara (AGC) tidak membantah permohonan berkenaan.

Iklan

“Susulan itu, kes ini ditetapkan untuk pengurusan kes secara e-review pada 6 Februari depan untuk menetapkan tarikh pendengaran rayuan yang baharu,'' katanya dalam satu kenyataan media.

Pada prosiding terdahulu, kerajaan selaku responden dihadiri Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan dan Nur Hafizza Azizan.

Iklan

Pada 13 Januari 2025, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan semakan kehakiman difailkan Dr Mahathir untuk membolehkan beliau dan peguamnya hadir sepanjang prosiding RCI berkenaan.

Pada 12 Jun 2024, bekas Perdana Menteri itu memberi keterangan dalam prosiding RCI yang dijalankan secara tertutup dan RCI telah menyahklasifikasikan laporannya yang dikeluarkan pada 5 Disember 2024.

Laporan RCI antaranya berpendapat bahawa Dr Mahathir berkemungkinan dengan sengaja mendorong Jemaah Menteri untuk tidak meneruskan kedua-dua permohonan berkaitan.

Walaupun ia bertentangan dengan pendapat perunding antarabangsa yang menyatakan bahawa terdapat asas dan kebarangkalian permohonan tersebut untuk berjaya.

Dua permohonan itu adalah bagi menyemak semula dan mentafsir keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) ada 23 Mei 2008 yang memutuskan Singapura mempunyai hak terhadap Batu Puteh manakala Batuan Tengah yang terletak tidak sampai satu kilometer dari pulau itu, merupakan milik Malaysia.

Selain itu, ICJ memutuskan hak milik Tubir Selatan, kira-kira empat kilometer dari Batu Puteh, akan ditentukan mengikut persempadanan perairan negara yang menguasainya.

Dalam laporan setebal 217 muka surat, RCI turut mengesyorkan agar siasatan jenayah boleh dimulakan terhadap Dr Mahathir mengikut Seksyen 415(b) Kanun Keseksaan dan beliau boleh dihukum di bawah Seksyen 417 dan 418 kanun sama.

Pada 5 Jun 2024, Dr Mahathir memfailkan permohonan semakan kehakiman itu supaya prosiding RCI dijalankan secara terbuka dan beliau menamakan lapan responden termasuk Pengerusi RCI Tun Md Raus Sharif yang juga bekas Ketua Hakim Negara.

Turut dinamakan sebagai responden ialah Timbalan RCI, Tan Sri Zainun Ali sebagai responden dan ahli-ahlinya, Datuk Dr Baljit Singh Sidhu, Datuk Dr Johan Shamsuddin Sabaruddin, Profesor Datin Dr Faridah Jalil, Datuk Mohammed Ridha Abd Kadir, Dickson Dollah dan Setiausaha RCI, Datuk Zamri Misman.

Beliau mendakwa tidak dibenarkan untuk diwakili peguam pilihannya pada prosiding RCI sedangkan beliau mempunyai hak untuk berbuat demikian.

Dr Mahathir memohon satu perisytiharan bahawa beliau adalah individu yang menjadi perkara dalam siasatan RCI, atau terbabit dengan perkara yang sedang disiasat oleh Suruhanjaya.

Justeru, beliau memohon perintah mandamus untuk membenarkannya dan peguam hadir sepanjang prosiding RCI.

Ini kerana, beliau mendakwa menjadi individu yang terbabit dengan perkara yang disiasat oleh RCI untuk mengkaji perkara mengenai pengendalian kes itu di bawah Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Siasatan 1950.

Selain itu, beliau memohon perintah melarang Md Raus daripada bertindak selaku Pengerusi RCI dan melarang Dr Baljit serta Mohammed Ridha menjadi ahli RCI.

Dr Mahathir berkata, pelantikan Md Raus sebagai Pengerusi RCI menimbulkan `bahaya berat sebelah' kerana wujud perselisihan faham antara bekas Ketua Hakim Negara itu dengan beliau berhubung perkara itu yang akan memberi kesan terhadap ketelusan beliau dalam membuat keputusan bagi prosiding RCI.

Sebelum ini, media melaporkan RCI Bagi Mengkaji Pengendalian Perkara Berkaitan Dengan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan mengesyorkan siasatan jenayah boleh dimulakan terhadap Dr Mahathir.

Bagaimanapun, kerajaan mengambil keputusan untuk tidak meneruskan tindakan, atas pertimbangan faktor usia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, walaupun beliau percaya kesalahan itu wujud dan besar, keputusan Jemaah Menteri adalah untuk tidak mengambil tindakan lanjut memandangkan Dr Mahathir kini sudah berusia 100 tahun pada Julai tahun lalu.