IPOH - Bantuan Khas Kewangan (BKK) berjumlah RM20,000 kepada Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) di Perak telah mula disalurkan pada Rabu.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, bayaran bersamaan dua bulan elauan itu melibatkan 59 pusat khidmat termasuk kawasan pembangkang, seperti diumumkan semasa pembentangan Belanjawan Perak 2026, November lalu.
Menurutnya, peruntukan itu bagi memastikan pusat khidmat mempunyai dana mencukupi untuk membantu rakyat, sekali gus menepis dakwaan kononnya kerajaan negeri tidak adil atau menyekat peruntukan kepada wakil rakyat pembangkang.
"Saya maklumkan perkara ini supaya rakyat tahu semua wakil rakyat sudah menerima peruntukan RM20,000 tersebut. Sebab ada beberapa peristiwa mengatakan kerajaan tidak memberi duit dan meminta rakyat pergi ke pusat khidmat pihak lain.
"Ini salah dan tidak wajar," katanya dalam sidang akhbar sempena Majlis Executive Talk dan Perutusan Tahun Baharu 2026 bersama Penjawat Awam negeri Perak di Pusat Konvensyen Casuarina, Meru di sini pada Khamis.
Beliau menjelaskan, setiap pusat khidmat di Perak menerima elauan RM10,000 sebulan, meningkat daripada RM5,000 sebelum ini dan RM7,000 ketika awal pentadbirannya sebagai Menteri Besar.
Katanya, daripada jumlah itu, RM7,000 diperuntukkan bagi pengurusan dan pentadbiran pusat khidmat, manakala baki RM3,000 boleh digunakan untuk membantu keperluan rakyat.
"Dengan peruntukan bulanan RM3,000 itu, setahun jumlahnya RM36,000. Ditambah dengan BKK RM20,000, pusat khidmat mempunyai sehingga RM56,000 setahun untuk digunakan membantu rakyat," katanya.
Saarani menegaskan, pemberian elaun RM10,000 secara sama rata kepada pusat khidmat wakil rakyat kerajaan dan pembangkang itu adalah antara yang tertinggi di negara ini.
"Di Perlis, pusat khidmat menerima RM5,000 sebulan, di Kedah hanya RM2,000. Perak beri RM10,000 sebulan dan turut beri BKK. Jadi isu kononnya kerajaan negeri tidak adil ini tidak sepatutnya timbul," katanya.
Menurut beliau, kerajaan negeri sentiasa memastikan peruntukan sampai kepada rakyat di semua kawasan, sama ada melalui wakil rakyat kerajaan atau pembangkang dengan perbezaan hanya dari segi kaedah pelaksanaan.
"Seperti bantuan awal persekolahan yang sering disalah tafsir. Bagi kawasan prmbangkang, bantuan tersebut tidak disalurkan kepada wakil rakyat, sebaliknya diuruskan oleh pegawai khas Menteri Besar dengan kadar bantuan sama seperti kawasan lain," katanya.
Terdahulu, kerajaan Perak mengumumkan BKK sebanyak dua bulan gaji kepada penjawat awam serta bantuan khas kepada pemimpin masyarakat serta guru-guru Kafa di negeri ini dengan bayaran telah dibuat, Disember lalu.