KULIM - Seorang bekas tenaga pengajar dari sebuah maahad tahfiz di Sungai Kob mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas kesalahan mencederakan murid, dalam kejadian tahun lalu.
Tertuduh, Muhammad Abdullah Abu Bakar, 26, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Nur Hamizah Mat Shah ketika pertuduhan dibacakan terhadapnya.
Mengikut pertuduhan, tertuduh dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas seorang murid lelaki berumur 11 tahun ketika kejadian, di asrama pada jam lebih kurang 10 malam, 29 September lalu.
Disebabkan itu, tertuduh telah melakukan kesalahan bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara selama tempoh satu tahun atau denda boleh sampai atau RM2,000 atau kedua-duanya.
Timbalan Pendakwaraya Raya, R Jayasri menawarkan jaminan sebanyak RM8,000 namun peguam tertuduh dari firma Hisham Yunus & Co memohon agar jumlah minimum dikenakan memandangkan dia kini tiada pendapatan akibat diberhentikan kerja.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM2,000 dengan syarat tambahan agar tidak mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan.
Kes akan disebut semula pada 3 Mac depan.
Sebelum ini, media melaporkan kenyataan Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berhubung satu video tular memaparkan seorang pelajar tahfiz dirotan.
Mangsa dikatakan baharu berdaftar masuk ke pusat tahfiz berkenaan kira-kira tujuh bulan lalu.