Kawasan kampung di Selangor terima aduan tertinggi sampah haram - Amirudin

Iklan
Amirudin (tengah) meletakkan tangan sebagai simbolik Pelancaran Hab metaSEL semasa Amanat Tahun Baharu 2026 di Dewan Raja Muda Musa, Kompleks Belia dan Kebudayaan Negeri Selangor, Seksyen 7 Shah Alam di sini pada Isnin.

SHAH ALAM - Kerajaan negeri Selangor akan memperhebat tindakan membanteras aktiviti pembuangan sampah haram, khususnya di kawasan kampung yang merekodkan jumlah aduan tertinggi setakat ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, walaupun kerja kutipan sampah dilakukan sehingga dua kali pada waktu pagi dan petang, masalah pembuangan sampah secara haram masih berterusan akibat sikap tidak bertanggungjawab pihak tertentu.

Iklan
Iklan

"Hulu Langat antara daerah paling banyak menerima aduan berkaitan sampah haram. Isu ini bukan semata-mata soal kutipan, tetapi melibatkan pembuangan tidak terkawal di kawasan kampung dan tanah lapang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa sidang akhbar selepas Amanat Tahun Baharu 2026 di Dewan Raja Muda Musa, Kompleks Belia dan Kebudayaan Negeri Selangor, Seksyen 7, Shah Alam di sini pada Isnin.

Iklan

Amirudin menjelaskan, kerajaan negeri telah mengarahkan Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) serta pihak berkuasa tempatan (PBT) mengambil tindakan lebih agresif termasuk memasuki kawasan berisiko tinggi bagi mengekang aktiviti berkenaan.

"Kita tidak mahu kawasan kampung menjadi tapak pembuangan sampah haram. Tindakan akan dipertingkat dan tidak akan ditangguhkan," tegas beliau.

Iklan

Beliau turut menegaskan, isu sampah haram tidak boleh diselesaikan secara bermusim, sebaliknya memerlukan kerjasama semua pihak termasuk komuniti setempat.

"Kita sudah beri arahan awal kepada semua agensi berkaitan dan tidak mahu menunggu terlalu lama untuk melihat perubahan, termasuk sebelum Ramadan,” katanya.

Amirudin berkata, antara langkah jangka sederhana yang sedang dilaksanakan ialah projek loji sisa kepada tenaga (WTE) yang dijangka siap pada Mac 2026 bagi mengurangkan kebergantungan kepada tapak pelupusan sedia ada.

Dalam pada itu, katanya, Selangor menyasarkan peruntukan minimum RM2.8 bilion bagi Bajet Negeri Selangor 2026 dengan tumpuan kepada pengukuhan prestasi pentadbiran, peningkatan hasil negeri serta pengagihan lebih adil kepada rakyat.

Beliau berkata, sasaran itu ditetapkan sebagai nilai minimum bagi memastikan keupayaan kewangan negeri kekal mampan walaupun berdepan turun naik kutipan hasil, khususnya pada awal tahun.

"Kita letakkan RM2.8 bilion sebagai minimum. Jika kutipan hasil meningkat, jumlah itu boleh jadi lebih tinggi, namun kerajaan negeri tidak mahu bergantung kepada unjuran yang terlalu optimistik," tambah beliau.

Menurut beliau, kerajaan negeri turut memberi penekanan kepada kepelbagaian sumber hasil dan tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada premium tanah yang disifatkan sebagai aset premium bersifat tidak tetap.

"Premium tanah tahun lalu menunjukkan prestasi yang baik, tetapi sekarang hasil negeri datang daripada pelbagai inisiatif dan penambahbaikan pengurusan hasil.

"Antara fokus utama 2026 ialah pengukuhan kerjasama antara pentadbiran negeri, PBT serta ketua-ketua kampung yang baharu dilantik bagi memastikan pelaksanaan dasar lebih tersusun dan berkesan," jelas beliau.

Mengenai inisiatif khas kepada penjawat awam negeri, Amirudin berkata, pemberian insentif akan diteruskan seperti amalan tahunan dan dijangka diumumkan menjelang Hari Raya Aidilfitri, tertakluk kepada kedudukan kewangan semasa negeri.