KUALA LUMPUR – Suria KLCC mengajak rakyat Malaysia menyambut Tahun Baharu Cina sempena Tahun Kuda menerusi sebuah perayaan istimewa yang menggabungkan elemen warisan, seni budaya dan inisiatif komuniti, bermula 16 Januari hingga 18 Februari ini.
Sepanjang tempoh perayaan, pengunjung berpeluang menikmati suasana meriah di KLCC The Place yang dihiasi dekorasi perayaan, tawaran bermusim serta pengalaman membeli-belah yang menarik. Sambutan turut diperluas ke Taman KLCC dan sekitar Presint KLCC yang menawarkan gabungan gaya hidup, sajian, serta tarikan seni dan budaya.
Tarikan utama perayaan di Suria KLCC menampilkan Karusel Kuda Oriental di Centre Court sebagai simbol Tahun Kuda, berlatarbelakangkan pemandangan gunung-ganang dan bunga sakura.
Instalasi ini turut dilengkapi elemen interaktif seperti Lotus Pond of Blessings.
Sebuah pavilion tradisional Cina lengkap dengan jambatan turut disediakan sebagai lokasi bergambar, sekali gus menambah pengalaman perayaan yang imersif.
Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Suria KLCC Sdn Bhd, Francis Tan berkata, Suria KLCC bukan sekadar pusat beli-belah, sebaliknya sebuah destinasi ikonik yang menjadi tempat terciptanya kenangan dan pengalaman bersama.
“Sempena Tahun Baharu Cina ini, kami berbesar hati mempersembahkan sebuah perjalanan perayaan yang meraikan tenaga dan semangat Tahun Kuda, sambil menyatukan masyarakat melalui warisan dan kegembiraan bersama.
“Kami juga meneruskan komitmen terhadap kesejahteraan komuniti menerusi inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang memberi peluang kepada pembeli menyumbang kepada kesedaran kesihatan mental,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika Pelancaran Tahun Baharu Cina 2026 Suria KLCC yang turut dihadiri Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Mohd Amirul Rizal Abdul Rahim; Pengerusi Suria KLCC Sdn Bhd, Datuk Seri Mohd Salem Kailany; Ketua Pegawai Kewangan Suria KLCC Sdn Bhd, Penny Chua dan Pengurus Besar Suria KLCC, Ameer Thajudeen pada Selasa.
Mengulas lanjut, Francis berkata, bagi menambah kemeriahan, Suria KLCC menawarkan Ganjaran Pembeli dengan perbelanjaan minimum RM2,500 dalam dua resit untuk menerima RM100 e-Baucar Beli-belah Suria KLCC serta satu set angpau.
Katanya, pembelian RM1,000 e-Baucar secara dalam talian pula akan menerima tambahan RM100 e-Baucar.
Beliau menambah, sambutan turut dimeriahkan dengan persembahan Tarian Singa Akrobatik pada setiap Sabtu serta hari pertama dan kedua Tahun Baharu Cina, selain bengkel seni seperti Sugar Art, bengkel cap kaligrafi Cina dan 'photobooth' perayaan.
Sementara itu, Alamanda Shopping Centre, Putrajaya turut menghidupkan suasana perayaan bermula 23 Januari hingga 18 Februari 2026 dengan konsep taman Oriental yang dihiasi Karusel Kuda, pavilion Cina, tanglung merah dan bunga sakura.
Di Pantai Timur pula, Mesra Mall membawa kemeriahan Tahun Baharu Cina bermula 29 Januari hingga 18 Februari 2026, dengan pelbagai persembahan tarian singa, aktiviti bengkel keluarga serta ganjaran istimewa kepada pembeli.
Perayaan Tahun Kuda anjuran Kumpulan Suria KLCC ini dijangka menjadi tumpuan pengunjung dari dalam dan luar negara, sekali gus menyemarakkan semangat perpaduan serta kemakmuran sempena Tahun Baharu Cina.