SABAK BERNAM – Ramalan awal bahawa spesies ikan pari dan ketuka bakal mendominasi pertandingan memancing Visit Malaysia Surfcasting Challenge di Pantai Sungai Lang di sini terbukti apabila sebanyak 71 ekor ikan daripada spesies berkenaan berjaya didaratkan peserta pada Sabtu.
Malah, tiga tangkapan ikan pari turut menguasai kedudukan teratas daripada keseluruhan 433 hasil tangkapan yang direkodkan sepanjang pertandingan itu.
Juara pertandingan disandang oleh Mohd Hairol Tumiran, 38, dari Batu Pahat, Johor selepas berjaya menaikkan ikan pari seberat 3.885 kilogram pada jam 9.36 pagi.
Tempat kedua pula dimenangi Shahrul Akmal Taib, 43, dari Klang, yang turut menaikkan ikan pari seberat 3.645 kilogram, manakala Mohd Hairol sekali lagi mencatat kejayaan apabila meraih tempat ketiga menerusi tangkapan pari seberat 3.475 kilogram, sekali gus muncul pemenang berganda.
Kejayaan itu membolehkan Mohd Hairol membawa pulang wang tunai berjumlah RM21,000, iaitu RM20,000 sebagai hadiah juara dan RM1,000 bagi tempat ketiga, sementara Shahrul Akmal menerima wang tunai RM3,000.
Hadiah kepada pemenang disampaikan oleh Pengasas Wakjali Event Management, Md Zali Kasran.
Pertandingan yang dianjurkan sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 itu disertai hampir 500 pemancing dari seluruh negara termasuk Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Terengganu, Perak dan Selangor.
Mohd Hairol berkata, beliau hanya menggunakan umpan udang bagi menjerat ikan pari dan mengambil masa kira-kira 15 minit untuk menaikkan tangkapan tersebut.
“Saya memang mensasarkan ikan pari berdasarkan maklumat yang dikongsikan penganjur menerusi media sosial serta perbualan dengan rakan-rakan pemancing lain.
“Alhamdulillah, sasaran itu menjadi kenyataan dan rezeki menyebelahi saya hari ini,” katanya ketika ditemui di Pantai Sungai Lang.
Sementara itu, Md Zali berkata, jumlah 433 tangkapan ikan pelbagai spesies sepanjang pertandingan membuktikan Pantai Sungai Lang berpotensi sebagai destinasi pelancongan berasaskan aktiviti memancing.
“Spesies pari memang menjadi buruan utama pemancing dan tidak banyak pantai di negara ini yang menjadi habitat kepada ikan berkenaan.
“Dominasi pari dalam pertandingan ini sekali gus mengangkat Pantai Sungai Lang sebagai antara lokasi pelancongan memancing yang berpotensi, dan insya-ALLAH acara sama akan dianjurkan sekali lagi sebelum hujung tahun ini,” katanya.