SHAH ALAM - Kerajaan Selangor memutuskan untuk menangguhkan dan membatalkan sementara sebarang cadangan melibatkan pembangunan berkaitan ladang penternakan babi di Bukit Tagar, Hulu Selangor berikutan bantahan keras penduduk serta keperluan penelitian lebih menyeluruh.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, isu itu sebenarnya telah dibincangkan di peringkat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) sebelum ini termasuk arahan kepada Exco Infrastruktur dan Pertanian, Datuk Ir Izham Hashim untuk mencari kawasan alternatif berikutan bantahan penduduk berhampiran kawasan terbabit.
"Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri telah dimaklumkan mengenai perkara ini pada Rabu lalu.
"Kita sedar terdapat bantahan keras, maka saya arahkan supaya alternatif kawasan lain dikenal pasti," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa sidang akhbar selepas Amanat Tahun Baharu 2026 di Dewan Raja Muda Musa, Komoleks Belia Dan Kebudayaan Negeri Selangor, Seksyen 7 Shah Alam di sini pada Isnin.
Bagaimanapun, Amirudin menegaskan, kerajaan negeri tidak akan mendedahkan sebarang lokasi atau cadangan alternatif buat masa ini kerana keputusan muktamad belum dibuat.
"Isu ini perlu ditangani dengan lebih berhemah termasuk libat urus bersama pihak berkepentingan, penilaian impak sosial (SIA) serta proses yang lebih teratur,” katanya.
Beliau mengakui pada peringkat awal, terdapat kekeliruan dan salah faham sehingga isu itu dilihat seolah-olah diputuskan secara tergesa-gesa.
"Isu ini sudah melampaui daripada realiti sebenar dan sebab itu kita ambil keputusan untuk tangguh serta batalkan dahulu sementara kita beri penjelasan yang jelas kepada semua pihak,” katanya.
Dalam masa sama, Amirudin memberi jaminan kerajaan negeri akan terus melindungi kepentingan semua pihak termasuk pengusaha terlibat, dengan sebarang keputusan dibuat secara adil dan saksama.
"Perbincangan dengan pengusaha akan tetap diteruskan. Kita mahu penyelesaian yang adil, munasabah dan tidak menjejaskan keharmonian masyarakat,” katanya.
Sinar Harian pada 12 Januari lalu melaporkan, perancangan untuk memindahkan ladang penternakan babi dari Kuala Langat dan Sepang ke kawasan berpusat moden di Bukit Tagar akan disegerakan sebelum hujung tahun ini.
Bagaimanapun, penduduk empat Felda di daerah berkenaan memohon perkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah supaya menitahkan kerajaan Selangor tidak meneruskan rancangan pemindahan ladang penternakan babi yang didakwa terlalu hampir dengan kawasan penempatan dan sumber air.
Sebelum ini, Amirudin berkata, kerajaan Selangor masih belum mengenal pasti lokasi alternatif bagi cadangan berpusat pemindahan ladang ternakan babi ke Bukit Tagar, namun bersedia menyemak semula pilihan lokasi lain sekiranya terdapat keperluan.
Pada 10 Januari lalu, Sultan Selangor menzahirkan dukacita dan tidak bersetuju dengan perancangan kerajaan negeri membenarkan operasi sementara penternakan babi di Tanjong Sepat, sebelum dipindahkan ke Bukit Tagar pada 2030.
Baginda bertitah pihak istana tidak bersetuju terutamanya wujud kemungkinan membabitkan penternakan babi berskala besar dan berorientasikan eksport ke luar negara.
Jumaat lalu, Perdana Menteri, mengesyorkan projek ternakan babi berpusat di Bukit Tagar yang menimbulkan keresahan masyarakat setempat dibatalkan terlebih dahulu ataupun dipindahkan di kawasan baharu yang lebih baik.