MELAKA – Agihan kerusi dan hala tuju Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka perlu dibincangkan secara matang menerusi meja rundingan antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) atas semangat perpaduan.
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Melaka, Hakimin Mokhtar berkata, tindak-tanduk pemimpin parti sentiasa diperhatikan rakyat yang akan membuat penilaian.
Menurutnya, perpaduan tidak dibina melalui drama, ugutan atau kenyataan beremosi untuk tontonan kamera, sebaliknya melalui perbincangan matang yang menjadi penanda aras kepada persiapan PRN Melaka.
“Jika meja rundingan hanya dijadikan hiasan dan akhirnya menemui jalan buntu, pertandingan tiga penjuru bukanlah satu ancaman kepada Pakatan Harapan (PH).
“Kami bertanding untuk menang dan membentuk kerajaan demi rakyat, bukan untuk politik mengejar populariti murahan atau lakonan konsisten di media sosial bagi meraih simpati sementara.
“Rakyat lebih bijak daripada skrip murahan,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh, yang menyatakan bahawa tiada keperluan untuk mengeluarkan sebarang amaran politik kerana UMNO bersedia berhadapan secara terbuka dalam apa jua kemungkinan.
Terdahulu, Parti Amanah Negara (Amanah) melalui Pengarah Komunikasinya, Khalid Abdul Samad, menuntut agar rundingan pembahagian kerusi bagi PRN Melaka dan Johor dilakukan secara seimbang dan adil antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN), selaras dengan semangat Kerajaan Perpaduan.
Khalid berkata, landskap politik semasa di Melaka dan Johor menyaksikan kebanyakan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dikuasai oleh wakil BN susulan perkembangan politik sebelum ini.
End