KOTA KINABALU - Parti Warisan (Warisan) menghormati keputusan dibuat oleh rakyat pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag pada Sabtu lalu, sekali gus menganggapnya sebagai peluang untuk bermuhasabah, mengambil pengajaran dan memperkukuh gerak kerja di lapangan.
Setiausaha Agung Warisan, Datuk Loretto Padua JR berkata, PRK mempunyai dinamik yang berbeza berbanding Pilihan Raya Umum (PRU), selain dipengaruhi oleh pelbagai faktor yang membentuk corak pengundian rakyat.
"Kami menghormati keputusan yang dibuat oleh rakyat Kinabatangan dan Lamag serta menerima keputusan PRK yang baru berlangsung.
"Kami melihat keputusan ini sebagai sebahagian daripada perjalanan demokrasi yang lebih panjang, serta satu peluang untuk bermuhasabah, mengambil pengajaran dan terus memperkukuh libat urus bersama rakyat," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Loretto berkata, perkara yang lebih penting adalah pertumbuhan sokongan berterusan dan peningkatan kefahaman rakyat terhadap pejuangan Warisan sebagai sebuah parti berteraskan Sabah yang komited terhadap kerajaan perpaduan merentasi kaum dan agama.
"Sebagai parti tempatan, kami kekal memberi tumpuan kepada penglibatan akar umbi secara berterusan, mengekalkan kehadiran yang konsisten bukan sahaja ketika musim pilihan raya, serta menangani isu dan keperluan harian rakyat.
"Kemajuan politik dibina secara berperingkat dan Warisan kekal komited untuk menjadi alternatif tempatan yang berwibawa bagi Sabah," katanya.
Pada PRK Sabtu lalu, Barisan Nasional (BN) berjaya mengekalkan kemenangannya di kedua-dua kerusi apabila calon Parlimen Kinabatangan, Mohd Naim Kurniawan Moktar dan calon DUN Lamag, Mohd Ismail Ayob atau lebih dikenali sebagai Miha berjaya memperoleh majoriti besar.