GAZA – Loji janakuasa tunggal di Gaza dilaporkan berada di landasan untuk menyambung operasi selepas ditutup lebih dua tahun akibat genosid dan sekatan Israel, kata Ketua Jawatankuasa Pentadbiran Gaza, Ali Shaath, Sabtu. Laporan itu disiarkan oleh Anadolu Ajansi.
“Rakyat di Genting Gaza, kami membawa berita baik bahawa terdapat kepastian dan kesiapsiagaan untuk loji penjanaan elektrik kembali beroperasi,” katanya menerusi platform media sosial Facebook.
Beliau menambah, “bersama usaha dengan pihak antarabangsa berkaitan tenaga solar, kami sedang bekerjasama dengan pembekal elektrik untuk memulihkan bekalan secepat mungkin.”
Shaath tidak menjelaskan secara terperinci bagaimana bekalan elektrik akan dipulihkan, mekanisme yang terlibat atau garis masa bagi proses tersebut.
Sejak permulaan genosid Israel pada Oktober 2023, Israel menamatkan bekalan elektrik ke Gaza dan menghalang kemasukan bahan api yang diperlukan untuk mengoperasikan loji janakuasa itu, walaupun terdapat perjanjian gencatan senjata sejak Oktober lalu.
Sebelum tercetusnya genosid, bekalan elektrik sedia ada di Genting Gaza dianggarkan sekitar 212 megawatt, kurang separuh daripada kira-kira 500 megawatt diperlukan untuk memastikan bekalan 24 jam.
Kekurangan bekalan elektrik di Gaza memberi kesan buruk kepada keseluruhan wilayah, terutamanya terhadap penyedia perkhidmatan penting dan hospital.
Sepanjang dua tahun genosid itu, Israel juga mensasarkan rangkaian elektrik, memusnahkan kira-kira 5,080 kilometer (3,157 batu) talian elektrik serta 2,285 transformer atas tanah dan bawah tanah. Jumlah kerugian di sektor elektrik Gaza dianggarkan sekitar AS$1.4 bilion (RM5.6 billion). - Bernama