SHAH ALAM - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang menunggu maklum balas daripada beberapa agensi penguatkuasaan luar negara berkenaan pemilikan aset yang dianggarkan bernilai kira-kira RM2.5 bilion membabitkan siasatan ke atas IJM Corporation.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya sedang menjalankan analisa kewangan bagi mengenal pasti aliran wang ke luar negara.
Menurutnya, SPRM telah mengadakan perbincangan dengan agensi penguat kuasa dan perisikan luar negara bagi menjejak aset di luar negara.
"Kita sedang mengenal pasti individu terlibat berhubung dakwaan proses perolehan syarikat yang dimanipulasi atau konflik kepentingan.
"Penglibatan pihak yang mempunyai kepentingan dalam membuat keputusan yang memberikan kelebihan kepada beberapa individu antara kelemahan tadbir urus korporat yang telah dikenal pasti SPRM setakat ini," katanya ketika dihubungi pada Sabtu.
Rabu lalu Sinar Harian melaporkan SPRM sedang menjalankan siasatan berhubung kes melibatkan IJM Corporation berkaitan dengan isu tadbir urus korporat, proses perolehan, transaksi kewangan serta pemilikan aset di luar negara yang dianggarkan bernilai kira-kira RM2.5 bilion.
Pasukan penyiasat menerusi Op Heart telah menjalankan pemeriksaan dan penggeledahan di empat lokasi berasingan melibatkan kediaman dan pejabat salah seorang anggota pengurusan tertinggi IJM Corporation.
SPRM turut membekukan sebanyak 55 akaun bank persendirian serta akaun syarikat-syarikat berkaitan dengan jumlah keseluruhan dianggarkan kira-kira RM15.8 juta.
Selain itu, siasatan SPRM turut menumpukan kepada usaha mengesan dan menyita aset-aset lain yang disyaki diperoleh melalui aktiviti pengubahan wang haram.
Kes disiasat di bawah Seksyen 16 Akta SPRM 2009 serta Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001).
Pada 19 Januari lalu, Bahagian Operasi Khas (BOK) SPRM telah menjalankan siasatan terhadap dua individu daripada pengurusan tertinggi IJM Corporation.