Beri alasan ‘masuk sekejap’, pemandu roktu Thailand elak permit ICP

Iklan
Mohd Misuari (tiga dari kiri) melihat dokumen pemandu van Thailand. Foto: SINAR HARIAN/ADILA SHARINNI WAHID

TANAH MERAH - Alasan ‘nak masuk sekejap saja’ menjadi helah biasa pemandu van persendirian Thailand atau lebih dikenali sebagai roktu untuk mengelak keperluan Permit Edaran Antarabangsa (ICP) ketika memasuki negara ini di Kelantan.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan, Mohd Misuari Abdullah berkata, hasil operasi mendapati majoriti kenderaan persendirian asing itu dikesan menyalahgunakan kelonggaran radius dua kilometer (km) dari pintu sempadan Malaysia-Thailand untuk membawa penumpang bagi tujuan pelancongan.

Iklan
Iklan

“Alasan paling kerap diberikan ialah masuk sekejap, namun pemeriksaan mendapati mereka sebenarnya bergerak melebihi jarak yang dibenarkan.

“Selain itu, mereka juga melakukan kesalahan membawa pelancong dalam kenderaan yang didaftarkan sebagai kenderaan persendirian,” katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mengetuai Ops Khas Tunggak dan Teknikal di Stesen Penguat Kuasa JPJ Bukit Bunga di sini pada Jumaat.

Menurutnya, antara modus operandi yang dikesan ialah penumpang diturunkan sebelum melepasi pemeriksaan di pintu masuk sempadan, pemandu masuk tanpa membawa penumpang sebelum penumpang menaiki semula kenderaan di luar kawasan sempadan.

Iklan

Kata beliau, ada pemandu juga dipercayai sengaja mengelak pendaftaran ICP sekali gus menimbulkan kebimbangan terlibat dengan aktiviti lain yang menyalahi undang-undang kerana masuk ke negara ini tanpa rekod rasmi.

“Kenderaan persendirian tidak dibenarkan membawa pelancong, namun dalam operasi ini, sembilan daripada 10 roktu didapati melakukan kesalahan tersebut,” katanya.

Dalam operasi terkini bermula 16 hingga 23 Januari lalu, sebanyak 67 kenderaan diperiksa dengan 42 daripadanya diambil tindakan atas pelbagai kesalahan melibatkan ICP dan teknikal termasuk cermin gelap serta pemasangan tirai atau langsir, membabitkan keseluruhan kutipan saman berjumlah RM6,750.

Tambah Mohd Misuari, kesalahan turut direkodkan bagi kegagalan mempamerkan ICP mengikut ketetapan termasuk hanya meletakkannya di papan pemuka dan bukan di cermin kenderaan.

“Jika berada dalam radius dua kilometer dari pintu sempadan, ICP tidak diperlukan.

“Namun apabila bergerak melebihi jarak itu, permit wajib ada, tetapi ramai pemandu berani melanggar syarat ini,” katanya.

Beliau turut memaklumkan JPJ Kelantan menjalinkan kerjasama rapat dengan pihak berkuasa Thailand bagi mengesan kenderaan yang gagal mematuhi undang-undang selain boleh diarahkan berpatah balik serta-merta.

Mengulas statistik sepanjang tahun lalu, beliau berkata Operasi Khas Tunggak JPJ Kelantan mengeluarkan 277 notis saman P22 melibatkan 182 saman pemandu dan 95 saman kenderaan dengan jumlah kutipan mencecah RM99,100.

“Kes paling tinggi ialah pameran ICP tidak mengikut ketetapan dengan 139 notis saman dikeluarkan dan kutipan melebihi RM54,000, diikuti 70 saman cermin gelap dengan kutipan RM21,250 serta 25 kes tiada ICP dengan kutipan RM12,000.

“Kebanyakan pemandu mempunyai rekod saman lampau,” katanya.