PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendapati sejumlah hampir RM300 juta telah dikutip antara tahun 2021 hingga 2024 daripada kira-kira 1,700 pelabur bagi tujuan pelaburan ke atas dua syarikat yang dikaitkan dengan individu bergelar Tan Sri.
Namun, semakan menunjukkan dana yang dikutip telah diseleweng dan dibelanjakan untuk tujuan selain daripada yang dipersetujui dalam perjanjian dengan para pelabur.
Menurut sumber, SPRM telah membuka dua kertas siasatan berhubung dakwaan terhadap seorang bergelar Tan Sri yang disyaki menyeleweng dana pelaburan berjumlah hampir RM300 juta.
"SPRM telah menahan dua individu serta melakukan penggeledahan di lima premis sekitar Lembah Klang pada Rabu dan Khamis lalu.
“Siasatan turut mendapati Tan Sri berkenaan menggunakan kedudukan serta pengaruh beliau untuk menarik minat dan meyakinkan pelabur agar melabur,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki memaklumkan bahawa siasatan kini menumpukan kepada jejak aliran dana yang diseleweng bagi tujuan pemulihan (recovery).
Katanya, siasatan ini turut melibatkan kepakaran Bahagian Analisa Kewangan serta Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram SPRM.
“Setakat ini, sebanyak 14 akaun individu dan syarikat telah dibekukan.
“SPRM masih menunggu maklum balas pihak bank berhubung baki akaun-akaun berkenaan dan menjangkakan lebih banyak akaun akan dibekukan selepas proses menjejak aliran wang selesai dilaksanakan,” katanya pada Sabtu.
Jelas Azam, SPRM komited melaksanakan siasatan secara profesional dan tegas memandangkan kes ini melibatkan jumlah wang yang besar serta kepentingan awam.
Sebelum itu, Sinar Harian melaporkan bahawa perintah reman selama empat hari sehingga 25 Januari terhadap lelaki berusia 60-an itu telah dikeluarkan oleh Majistret Ezrene Zakariah selepas permohonan dibuat oleh SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya.