Pegawai kanan TLDM, pengarah syarikat direman bantu siasatan rasuah

Iklan

KUALA LUMPUR - Seorang pegawai kanan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) direman kerana disyaki terlibat rasuah dengan mengesyor dan melantik syarikat kroni mendapatkan kerja di tempat beliau bertugas.

Turut ditahan reman, seorang pengarah syarikat kerana disyaki terlibat dan bersubahat dalam aktiviti rasuah berkenaan.

Iklan
Iklan

Perintah reman selama tujuh hari hingga 29 Januari terhadap kedua-dua individu berkenaan dikeluarkan Majistret A Hafiizh Abu Bakar selepas permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Tinggi Ipoh pagi Jumaat.

Sumber memaklumkan, kedua-dua suspek lelaki berusia lingkungan 40 dan 50-an itu ditahan kira-kira 6.50 petang dan 9.40 malam Khamis ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Perak, di Ipoh.

Iklan

"Kedua-dua suspek dipercayai bersubahat melakukan perbuatan berkenaan sejak 2017 hingga 2020.

"Siasatan awal turut mendapati pegawai kanan TLDM itu disyaki memiliki harta melebihi jumlah emolumen yang diterima seperti pemilikan kira-kira lapan aset tak alih terdiri daripada tiga buah rumah, tiga rumah kedai dan dua hotel yang didaftarkan atas nama beliau,” katanya.

Iklan

Sumber juga memaklumkan, siasatan mendapati terdapat kemasukan sejumlah wang dari sumber yang diragui bernilai kira-kira RM2 juta ke dalam akaun peribadi dan dua akaun syarikat perhotelan milik pegawai tersebut.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Perisikan SPRM, Datuk Saiful Ezral Arifin ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu dan kes disiasat di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009. - Bernama