ADAKAH setiap fenomena yang pernah wujud dalam sejarah manusia secara automatik layak diraikan dan dinormalisasikan dalam ruang awam hari ini?
Penulis melihat isu Glamping with Pride yang dijadualkan akan diadakan di Hulu Langat pada hujung minggu ini telah mencetuskan perbahasan awam yang melangkaui soal penganjuran sebuah acara rekreasi biasa.
Ia menyentuh persoalan yang lebih mendasar, iaitu hubungan antara sejarah, hak asasi manusia, norma tamadun dan tertib moral dalam sebuah masyarakat yang berteraskan agama.
Dalam mempertahankan acara seumpama ini, hujah yang sering dikemukakan ialah ekspresi jantina telah wujud sejak awal ketamadunan manusia, justeru ia dianggap normal, semula jadi, genetik dan wajar diraikan dalam masyarakat moden.
Seperti biasa, buku Homosexuality in Islam oleh Scott Kugle akan diangkat walaupun hujahnya sudah lapuk dan telah dijawab dengan tuntas oleh ramai sarjana Muslim.
Sejarah manusia juga sarat dengan perhambaan, keganasan, eksploitasi seksual dan penindasan kelas, namun tidak ada tamadun yang matang menjadikan kewujudan fenomena tersebut sebagai hujah bahawa ia wajar diraikan atau dipromosikan.
Dalam disiplin kajian tamadun, sesuatu amalan hanya boleh dianggap norma apabila ia diamalkan secara meluas, berterusan dan dilindungi oleh sistem nilai serta undang-undang masyarakat.
Fatwa Ibnu Hazm yang sering dipetik, hadis-hadis Nabi yang disalah fahami atau kisah Khalifah al-Amin daripada Khilafah Abbasiah dengan ghulamiyyat (melampau) hanyalah episod-episod yang diambil secara cherry-picking untuk mengabsahkan kecenderungan yang bertentangan dengan kerangka etika Islam dan tertib moral awam.
Apabila sesuatu ekspresi dipromosikan secara terbuka, diberi jenama dan diraikan sebagai identiti kolektif, ia membawa tuntutan normatif terhadap masyarakat sekeliling.
Ia tidak lagi neutral, tetapi menjadi pernyataan nilai. Dalam masyarakat Malaysia, yang struktur awamnya berpaksikan Islam dan adat ketimuran yang menebal, tuntutan normatif ini secara langsung bercanggah dengan nilai yang telah dipersetujui bersama.
Atas asas inilah titah Sultan Selangor Sultan, Sharafuddin Idris Shah Alhaj perlu difahami dalam kerangka yang lebih luas. Teguran baginda adalah berpijak pada prinsip perlembagaan dan tradisi Islam yang memelihara tertib moral awam.
Penyerupaan antara lelaki dan wanita terutama apabila dinormalisasikan di ruang awam, dinilai dalam Islam sebagai perbuatan yang mengganggu tertib sosial (ikhtilal al-nizam al-ijtima’i), sebagaimana dapat dinyatakan dalam banyak karya fiqah dan hadis yang membincangkan larangan tashabbuh (penyerupaan).
Di sinilah pentingnya memahami hak asasi manusia dari perspektif Islam. Dalam Islam, perbahasan hak sentiasa melibatkan tiga dimensi: hak individu, hak masyarakat dan hak ALLAH.
Islam mengiktiraf hak asasi manusia secara jelas dan sistematik, jauh sebelum kerangka moden Barat. Hak hidup, maruah, kebebasan beragama, pemilikan harta dan keselamatan diri merupakan prinsip teras yang diiktiraf melalui Maqasid Syariah, khususnya pemeliharaan agama, nyawa, akal, keturunan dan harta.
Dalam masa yang sama, hak dalam Islam tidak bersifat mutlak secara individualistik. Ia sentiasa terikat dengan tanggungjawab moral dan kemaslahatan awam.
Prinsip ini selari dengan kaedah fiqah yang masyhur: La darar wala dirar (tidak boleh memudaratkan diri dan masyarakat). Oleh itu, tuntutan “hak” untuk menzahirkan identiti tertentu di ruang awam tidak boleh dipisahkan daripada kesannya terhadap nilai kolektif masyarakat.
Ringkasnya, polemik Glamping with Pride tidak berkait dengan soal menafikan hak atau menindas mana-mana individu. Ini merupakan soal hak peribadi, norma awam dan hak ALLAH.
Islam membezakan dengan jelas antara apa yang pernah berlaku, apa yang dibenarkan serta tidak dibenarkan secara individu, dan apa yang wajar diraikan sebagai nilai masyarakat. Semuanya ini berada dalam lingkungan syariat-NYA yang sentiasa meraikan fitrah manusia.
***Penulis, DR MOHAMAD RAZIF MOHAMAD FUAD merupakan Pensyarah Jabatan Usuluddin dan Dakwah, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya.