MELAKA - Imam 3 Masjid Al-Ehsan, Bukit Baru, Muhammad Adhan Adnan meletakkan jawatan susulan penularan video seorang lelaki yang didakwa setiausaha masjid itu menonton video lucah di dalam pejabat.
Perkara itu dimaklumkan Muhammad Adhan menerusi surat perletakan jawatan bertarikh 21 Januari 2026 yang dialamatkan kepada pihak pengurusan, ahli jawatankuasa dan pegawai syarak Masjid Al-Ehsan, Bukit Baru.
Dalam surat berkenaan, beliau memaklumkan keputusan itu dibuat selepas akur dengan arahan pengerusi masjid susulan isu salah laku yang sedang berlaku membabitkan setiausaha masjid.
“Saya juga ingin meluahkan rasa kecewa terhadap pengurusan masjid kerana terlalu lemah dan takut dalam mengambil tindakan ke atas setiausaha yang menonton video lucah di dalam masjid menggunakan peralatan masjid pada 27 Disember 2025 lalu, walaupun bukti telah disertakan.
“Kemudian, tiada pembelaan daripada pihak masjid terhadap saya sebagai imam apabila ada pihak lain yang menuduh, memutar belit cerita dan juga melaknat saya kerana cuba membongkarkan perkara busuk yang berlaku di dalam masjid,” menurut surat perletakan jawatan itu.
Pada Rabu, tular di media sosial rakaman memaparkan perbuatan tidak senonoh itu yang dirakam oleh Muhammad Adhan ketika beliau berada di masjid berkenaan bagi menjadi saksi upacara akad nikah.
Perbuatan itu terbongkar selepas disedari orang awam yang menjengah melalui tingkap kaca pejabat berkenaan dan melihat skrin komputer memaparkan kandungan tidak bermoral.
Dalam pada itu, Muhammad Adhan menegaskan, tujuan rakaman dibuat bukan untuk tatapan umum, sebaliknya sebagai rujukan kepada pihak pengurusan masjid dan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) bagi membolehkan tindakan sewajarnya diambil.
Bagaimanapun katanya, video berkenaan telah disalah guna dan disebarkan oleh pihak tidak bertanggungjawab.
“Isu video yang tular itu bukan saya yang sebarkan. Rakaman tersebut diambil untuk rujukan ahli jawatankuasa masjid dan JAIM sahaja, namun terdapat pihak yang tidak bertanggungjawab menyebarkannya.
“Bagi mereka yang mengecam saya tanpa mengetahui cerita sebenar, saya memaafkan semuanya. Pada masa akan datang, tabayyunlah dahulu sebelum membuat sebarang komen,” katanya.
Sementara itu, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman memaklumkan isu berkenaan akan dibincangkan dan tindakan selanjutnya akan diputuskan dalam mesyuarat jawatankuasa masjid pada minggu hadapan.