Waspada sengatan ubur-ubur

Iklan
Insiden sengatan ubur-ubur melibatkan seorang remaja perempuan di Pantai Cahaya Negeri, Port Dickson di sini baru-baru ini menekankan keperluan langkah pencegahan dan keselamatan yang menyeluruh dalam kalangan pengunjung pantai. Gambar kecil:Noor Fadzli

SEREMBAN - Insiden sengatan ubur-ubur melibatkan seorang remaja perempuan di Pantai Cahaya Negeri, Port Dickson di sini baru-baru ini menekankan keperluan langkah pencegahan dan keselamatan yang menyeluruh dalam kalangan pengunjung pantai.

Aktivis Pemuliharaan Marin, Noor Fadzli Shah berkata, Pantai Port Dickson merupakan antara destinasi pelancongan utama yang sering dikunjungi keluarga serta kanak-kanak.

Iklan
Iklan

"Justeru, aspek keselamatan pengunjung perlu sentiasa diberikan keutamaan, lebih-lebih lagi apabila melibatkan kawasan laut terbuka yang terdedah kepada perubahan arus, cuaca dan kehadiran hidupan marin berbahaya seperti ubur-ubur.

"Saya menyarankan agar orang ramai sentiasa berwaspada ketika mandi-manda di pantai, memakai pakaian yang sesuai bagi mengurangkan risiko kecederaan, serta membawa keperluan asas seperti cuka sebagai rawatan awal sekiranya berlaku sengatan," katanya pada Rabu.

Iklan

Terdahulu, media melaporkan remaja perempuan berusia 13 tahun cedera ringan selepas terkena sengatan ubur-ubur ketika mandi di pantai berkenaan namun dilaporkan stabil selepas mendapatkan rawatan awal di Hospital Port Dickson.

Mengulas lanjut, Noor Fadzli berkata, ibu bapa juga disaran untuk memantau pergerakan anak-anak dengan lebih teliti dan memberi pendedahan awal mengenai keselamatan di pantai.

Iklan

Dalam masa sama katanya, pihak berkuasa berkaitan disaran untuk memperkukuh langkah pencegahan termasuk pemasangan papan tanda amaran, hebahan keselamatan secara berkala dan pemantauan berterusan terhadap keadaan perairan di kawasan pantai peranginan.

"Langkah pendidikan dan kesedaran awam perlu diperkasakan agar kejadian seumpama ini dapat dielakkan pada masa hadapan lebih-lebih lagi ramai pelancong dari luar dan dalam negara sempena Tahun Melawat Malaysia dan Tahun Melawat Negeri Sembilan.

"Pantai adalah khazanah alam yang indah dan menjadi kebanggaan Negeri Sembilan, namun, keindahan ini perlu dinikmati dengan penuh tanggungjawab dan keutamaan terhadap keselamatan demi kesejahteraan semua pengunjung," katanya.