Harga tapak Bazar Aidilfitri Dataran Senawang RM500 hingga RM3,500

Iklan
Masri berkata bagi memastikan ketelusan, senarai harga tapak serta lima penganjur yang dilantik turut dipaparkan di laman web rasmi MBS.

SEREMBAN – Majlis Bandaraya Seremban (MBS) menetapkan harga tapak bazar Aidilfitri di Dataran Senawang antara RM500 hingga RM3,500 bergantung kepada lokasi serta saiz khemah yang disediakan oleh penganjur.

Datuk Bandar Seremban, Datuk Masri Baharuddin berkata, kadar tersebut telah dipersetujui bersama penganjur dan tindakan boleh diambil sekiranya didapati ada yang mengenakan harga lebih tinggi daripada yang ditetapkan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, bagi memastikan ketelusan, senarai harga tapak serta lima penganjur yang dilantik turut dipaparkan di laman web rasmi MBS.

“Sebab itu kita amat berharap peniaga yang mendakwa dikenakan bayaran sehingga RM14,000 supaya tampil ke hadapan dengan mengemukakan bukti bagi membolehkan tindakan lanjut diambil.

Iklan

"Malah semalam (Rabu) peniaga-peniaga yang kata mahu berjumpa dengan saya di MBS bagi menyatakan ketidakpuasan dengan caj dikenakan penganjur, tapi hanya beberapa orang yang datang dan dakwaan harga cekik darah itu tidak pun dibangkitkan termasuklah oleh pemilik akaun 'Senawang macam-macam ada!'," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Beliau berkata, lima penganjur yang dipilih ialah Pertubuhan Sahabat Muafakat Negeri Sembilan, Warisan Sinar MMR Sdn Bhd, Persatuan Seni Gayong Serantau Malaysia, Pertubuhan Belia Warisan Paroi dan Persatuan Sepak Takraw Negeri Sembilan.

Iklan

Dalam perkembangan sama, Masri berkata, pihaknya telah membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) terhadap laman Facebook ‘Senawang macam-macam ada!’ yang didapati cuba menimbulkan fitnah berhubung harga tapak bazar berkenaan sehingga menjejaskan nama baik MBS.

“Laporan polis juga akan dibuat berhubung perkara ini dan saya sekali lagi berharap kepada sesiapa yang rasa ditipu, tolonglah tampil berjumpa dengan kita,” katanya.

Masri turut menegaskan yang MBS bersedia bekerjasama dengan polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi mengesan penganjur atau mana-mana pihak yang didapati mengambil kesempatan mengenakan sewa yang tinggi.

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan, harga sewa tapak khemah bazar Aidilfitri di Dataran Senawang sekali lagi hangat diperkatakan apabila timbulnya dakwaan harga ditawarkan penganjur ada sehingga mencecah RM14,000.

Isu terbabit menjadi hangat apabila ada yang menyatakan ketidakpuasan hati berhubung perkara itu di media sosial, selain mendesak Masri tampil memberikan jawapan kerana didakwa gagal menyelesaikan isu harga cekik darah tersebut yang berlarutan sekian lama.

Menerusi perkongsian di akaun Facebook 'Senawang macam-macam ada!', wujud pihak yang berkongsi poster mengajak peniaga Dataran Senawang beramai-ramai hadir ke MBS pada Rabu, jam 10 pagi untuk bertemu dengan Masri bagi menuntut penjelasan.

Bagaimanapun setelah satu jam menunggu, hanya beberapa peniaga yang muncul, malah tiada seorang pun yang bersuara berhubung harga cekik darah seperti didakwa.