MELAKA - Bayi kedua daripada kembar tiga pasangan Mejar Ir Ts Mohd Fikry Amri Abd Halim, 41, dan Sabrina Hakiem Zaini, 41, dilaporkan berada dalam keadaan tenat.
Berita sedih itu dikongsikan Mohd Fikry menerusi satu hantaran di laman Facebook pada Khamis.
Mohd Fikry memaklumkan bahawa anaknya, Maryam Al Khawla, kini berada dalam keadaan kritikal dan semakin lemah.
“Mohon semua yang mengenali saya dan isteri untuk mendoakan kesembuhan dan keselamatan anak kami, Maryam Al Khawla (kembar nombor dua).
“Semoga ada keajaiban dan syifa atas berkat doa kalian semua. Hanya doa kalian yang kami pinta. Doakan kami terus kuat menempuh ujian ini,” katanya menerusi perkongsian tersebut.
Sementara itu, ibu kepada bayi kembar tiga berkenaan, Sabrina, berharap Maryam Al Khawla diberikan kesembuhan sepenuhnya dan terus kuat melawan jangkitan yang dihadapinya ketika ini.
“Bacaan kuning meningkat dua kali ganda berbanding semalam. Mata sudah kelihatan kuning dan perut juga semakin membesar.
“Doktor menggunakan dos rendah ubat tidur, namun Khawla sangat lemah dan tidak aktif.
“Selepas transfusi darah dan pemberian imunoglobulin, bilangan sel darah merah (RBC) dan platelet menunjukkan peningkatan,” katanya.
Tambahnya, tiada lagi pendarahan dari mulut bayi berkenaan seperti sebelum ini, namun keadaannya masih sangat lemah.
“Sudah 90 hari Khawla berjuang. Doakan Khawla terus kuat untuk melawan jangkitan kali keempat ini.
“Ya ALLAH, kurniakanlah syifa kepada Maryam Al Khawla dan berikanlah kekuatan kepada kami untuk menghadapi ujian-Mu ini,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan berita gembira apabila pasangan berkenaan menyambut kelahiran bayi kembar tiga pada 24 Oktober 2025 di Hospital Melaka.
Pasangan itu dikurniakan tiga cahaya mata perempuan menerusi rawatan kesuburan in-vitro (IVF) tajaan Yayasan Fertiliti Tunku Azizah (TAFF) yang diasaskan oleh Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Kisah pasangan ini sebelum ini turut menarik perhatian negara selepas tragedi kematian anak lelaki mereka, Muhammad Al Fateh Amri Mohd Fikry Amri, ketika berada dalam jagaan pengasuh di sebuah taska di Taman Kelemak Utama, Alor Gajah, pada September 2024.
Tragedi berkenaan mengundang simpati rakyat Malaysia terhadap pasangan itu yang kehilangan anak lelaki berusia lapan bulan selepas menanti kehadiran cahaya mata selama 13 tahun.