SEREMBAN - Harga sewa tapak khemah bazar Aidilfitri paling 'panas' di Dataran Senawang di sini sekali lagi hangat diperkatakan apabila timbulnya dakwaan harga ditawarkan penganjur ada sehingga mencecah RM14,000.
Isu terbabit menjadi hangat apabila ada yang menyatakan ketidakpuasan hati berhubung perkara itu di media sosial, selain mendesak Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seremban (MBS), Datuk Masri Baharuddin tampil memberikan jawapan kerana didakwa gagal menyelesaikan isu harga cekik darah tersebut yang berlarutan sekian lama.
Menerusi perkongsian di akaun Facebook 'Senawang macam-macam ada!', wujud pihak yang berkongsi poster mengajak peniaga Dataran Senawang beramai-ramai hadir ke MBS pada Rabu, jam 10 pagi untuk bertemu dengan Masri bagi menuntut penjelasan.
Bagaimanapun setelah satu jam menunggu, hanya beberapa peniaga yang muncul, malah tiada seorang pun yang bersuara berhubung harga cekik darah seperti didakwa.
Turut hadir wakil lima penganjur tapak bazar Dataran Senawang.
Masri meluahkan rasa kesal kerana ruang tersebut tidak digunakan sebaik mungkin oleh peniaga bagi menyatakan ketidakpuasan hati mereka.
"Saya cuba nak selesaikan isu yang ditimbulkan kerana apabila ia tidak ditangani, maka ramailah yang buat tohmahan.
"Tapi hari ini, apabila kita memanggil semua pihak berkaitan untuk memberikan kenyataan yang lebih jelas berhubung dakwaan harga sewa khemah antara RM8,000 hingga RM14,000 itu, tiada pula yang tampil, saya betul-betul dukacita," katanya dalam sidang akhbar di MBS pada Rabu.
Menurutnya, sekiranya pihak tersebut tidak selesa untuk berjumpa dengannya secara terbuka, beliau mempelawa untuk datang berjumpa di pejabat, beserta dengan bukti supaya tindakan lanjut dapat diambil.
Beliau turut menyangkal dakwaan wujud penglibatan orang dalam MBS berhubung isu terbabit.
"Saya yakin dengan pegawai saya dan sekiranya benar ada yang terlibat, buat aduan kepada saya beserta bukti dan tindakan pecat akan diambil," ujarnya.
Justeru, beliau memberi tempoh 24 jam kepada pemilik akaun Facebook 'Senawang macam-macam ada!' untuk membuat permohonan maaf secara terbuka kepada MBS kerana telah menimbulkan persepsi buruk terhadap agensi itu.
"Sama ada dia padam hantaran itu atau tidak, saya tidak peduli. Yang penting, pemilik akaun itu buat permohonan maaf secara terbuka di media sosial dia dalam tempoh 24 jam. Kalau tidak, saya akan terus mengambil tindakan.
"Saya tak mahu individu tidak bertanggungjawab menulis sesuka hati. Saya juga akan buat aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC," katanya.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan yang menjadi tanggungjawab setiap penganjur untuk memastikan peniaga sebenar yang berniaga di tapak yang disewakan, bukannya orang lain.
Tambahnya, ia bagi mengelakkan wujudnya orang ketiga yang mengambil kesempatan meletakkan harga sesuka hati, namun beliau enggan mengesahkan wujudnya perkara itu kerana tidak mempunyai bukti.
"Saya tidak pastilah (pihak ketiga) kerana kita tidak ada bukti dan disebabkan itulah saya buat perjumpaan pagi ini untuk mendapatkan bukti daripada para peniaga.
"Kalau betul-betul rasa dianiaya, datanglah berjumpa dengan kita. Kalau bercakap saja tanpa bukti, itu yang jadi isunya kerana kita tak boleh nak selesaikan masalah tersebut," katanya.
Justeru ujarnya, bermula tahun hadapan, MBS akan meletakkan syarat yang penganjur dikhendaki memastikan hanya peniaga yang sebenar berniaga dan sekiranya gagal, mereka boleh dikenakan tindakan.
Sementara itu, salah seorang penganjur, Mohd Fadzliatul Fadilah Ab Rahim, 30 berkata, tahun ini merupakan tahun kedua persatuannya menjadi penganjur di bazar berkenaan.
Ujarnya, isu harga tapak yang didakwa cekik darah itu sememangnya sudah menjadi kebiasaan setiap kali menjelang Ramadan.
"Saya boleh katakan cerita itu atas angin saja dan biasanya orang itu hanya bising di media sosial saja dan hari ini, tak datang pula dalam perjumpaan ini.
"Kalau cerita harga tapak mahal itu betul, perlu tunjukkan bukti dengan fakta, jangan cakap saja. Perlu tunjukkan resit ke atau transaksi bank daripada peniaga," katanya.
Beliau mengakui tapak bazar terbabit sememangnya menjadi rebutan para peniaga dan 90 tapak di bawah penganjurannya juga sudah habis terjual dalam tempoh seminggu.
Pada masa sama, beliau tidak menolak kemungkinan wujudnya 'broker' tapak bazar setiap kali Ramadan.
"Memang setiap tahun akan ada orang buat macam itu, mereka ini 'bekalkan" tapak kepada peniaga lain. Saya sendiri pernah ada pengalaman dan bila kita tahu dia buat macam itu, duit dia dipulangkan.
"Sebab itulah kami akan semak betul-betul peniaga di bawah kami dan semuanya direkodkan," katanya.