KOTA BHARU - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendedahkan dua lagi pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bergelar Datuk bakal didakwa susulan kes melibatkan bekas Panglima Tentera Darat (PTD), Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pertuduhan ke atas dua individu itu akan dilakukan selepas mendapat persetujuan daripada Peguam Negara.
"Sekiranga Peguam Negara bersetuju, kita akan terus kepada pendakwaan. Saya jamin tidak lama.
"Kalau boleh saya mahu jawapan cepat dari beliau (Peguam Negara)," katanya semasa sidang akhbar pada Khamis.
Sebelum itu beliau merasmikan Program Cakna Rasuah: SPRM Bersama Media Zon Timur di Hotel Grand Riverview di sini.
Menurut beliau, SPRM memberi keutamaan kepada senarai 'top ranking' dahulu.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan Muhammad Hafizuddeain mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Khamis, atas empat kes menerima hasil aktiviti haram mencecah RM2,122,400 pada 2024 hingga tahun lalu.
Muhammad Hafizuddeain, 58, membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibaca di hadapan Hakim, Azura Alwi.