KULAI – Taktik sindiket penyelewengan diesel yang mengubah suai tangki lori bagi mengumpul bekalan secara berlebihan terbongkar apabila Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor merampas kira-kira 32,000 liter diesel dalam satu operasi di daerah ini pada Rabu.
Pengarah KPDN Johor, Lilis Saslinda Pornomo berkata, serbuan ke atas sebuah premis kilang itu dijalankan hasil maklumat risikan yang dikumpulkan oleh pasukan penguat kuasa kementerian berkenaan.
“Hasil pemeriksaan menemukan dua skid tank berisi minyak diesel, satu skid tank kosong serta sebuah lori yang dipercayai telah diubah suai tangkinya bagi tujuan penyelewengan.
“Hasil siasatan awal mendapati minyak diesel yang disimpan di premis tersebut berada dalam kawalan yang menimbulkan syak munasabah berlakunya kesalahan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Beliau berkata, sindiket terbabit dipercayai memperoleh bekalan diesel dengan melakukan pembelian berulang kali di sebuah stesen minyak berhampiran menggunakan lori yang telah diubah suai.
“Beberapa transaksi pembelian yang mencurigakan turut dikesan, justeru tindakan penguatkuasaan juga diambil terhadap stesen minyak yang disyaki terlibat dalam kegiatan ini,” katanya.
Menurutnya, rampasan keseluruhan melibatkan 32,000 liter minyak diesel, sebuah lori, tiga buah skid tank serta peralatan lain yang dipercayai digunakan untuk tujuan penyelewengan.
“Nilai rampasan dianggarkan berjumlah kira-kira RM300,000. Kes kini disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya bagi individu, manakala syarikat boleh dikenakan denda sehingga RM2 juta jika sabit kesalahan,” ujarnya.
Lilis Saslinda menegaskan, KPDN Johor akan terus mempergiatkan operasi penguatkuasaan dan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam penyelewengan barang kawalan.
Orang awam yang mempunyai maklumat berhubung kegiatan seumpama itu boleh menyalurkan aduan kepada KPDN melalui talian 1-800-886-800, WhatsApp 019-848 8000 atau aplikasi Ez ADU KPDN.