SPRM tambah empat pegawai integriti pantau perolehan tender Mindef

Iklan
Azam

KOTA BHARU - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menambah empat lagi pegawai integriti untuk memantau urusan perolehan tender dan sebut harga Kementerian Pertahanan (Mindef).

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, penambahan dalam tempoh enam bulan itu dijalankan sebelum 1 Februari ini bagi melihat dan memantau tadbir urus kementerian tersebut.

Iklan
Iklan

"Keputusan ini dilakukan selepas saya mengadakan perjumpaan dengan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin di Wisma Pertahanan semalam.

“Sebelum ini, SPRM sudah menempatkan dua pegawai integriti di Mindef sejak hampir dua tahun lalu. Jadi, kita tempatkan empat lagi pegawai di sana untuk memantau perolehan tender dan sebut harga di kementerian tersebut," katanya semasa sidang akhbar pada Khamis.

Iklan

Sebelum itu beliau merasmikan Program Cakna Rasuah: SPRM Bersama Media Zon Timur di Hotel Grand Riverview di sini.

Menurut beliau, pemantauan itu bukan sahaja melibatkan Tentera Darat Malaysia, tetapi ia turut melibatkan Tentera Laut Diraja Malaysia dan Tentera Udara Diraja Malaysia.

Iklan

Mengulas lanjut, Azam memberitahu, pemantauan itu dijalankan pihak SPRM dan Mindef bagi menyemak atau mengaudit perkara melibatkan kebocoran terhadap aspek perolehan.

Ujarnya, Menteri Pertahanan juga bersetuju dengan SPRM untuk membawa pakar-pakar daripada kerajaan seperti Jabatan Audit Negara sekiranya diperlukan untuk memantau perolehan di dalam Mindef.

“SPRM akan lihat isu ketirisan yang berlaku di Mindef dan akhirnya kita mahu melakukan penjimatan kos supaya satu-satu pembelian yang dijalankan adalah telus.

“Sebagai contoh, apabila ada pembelian aset dengan jumlah yang besar, SPRM akan mencadangkan agar Mindef mengkaji semula sama ada harga bertepatan atau tidak dan nilai pasaran barangan tersebut. Ini semua termasuk dalam perbincangan saya dengan Menteri Pertahanan,” katanya.

Media pada Rabu melaporkan, Mindef dan SPRM sepakat memperkukuh integriti serta tadbir urus dalam institusi pertahanan negara menerusi kerjasama strategik antara kedua-dua pihak.

Menurut Mohamed Khaled, komitmen itu dizahirkan menerusi kunjungan hormat Azam ke Wisma Pertahanan, sekali gus mencerminkan usaha bersama dalam meningkatkan kepercayaan rakyat terhadap institusi pertahanan.

Menurut beliau, selari dengan prinsip ketelusan, akauntabiliti dan integriti, Mindef menegaskan komitmen untuk memberikan kerjasama penuh kepada SPRM dalam semua siasatan berkaitan kes rasuah yang sedang dijalankan.