SEPANG - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah berjaya melaksanakan tindakan lucut hak kenderaan yang digunakan bagi kegiatan kereta sewa haram atau 'ulat' tahun lalu
Pengarah Kanan Penguat Kuasa JPJ, Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, tindakan itu diambil pada Jun melibatkan satu kes warga tempatan dengan kenderaan Proton Persona.
Menurutnya, mana-mana kenderaan 'ulat' yang melakukan kesalahan kali kedua dan seterusnya akan dikenakan tindakan pelucuthakan.
"Ini merupakan kes pertama yang dibuat JPJ.
"JPJ memandang serius kegiatan haram ini dan akan meneruskan Op Ulat KLIA tahun ini bagi membendung kegiatan yang menawarkan perkhidmatan kereta sewa tidak berlesen atau secara haram di pintu masuk negara," katanya dalam sidang akhbar di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 di sini pada Khamis.
Turut hadir, Pengarah JPJ Selangor, Azrin Borhan.
Kata Muhammad Kifli, individu yang didapati bersalah boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 205 (1) Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010 yang memperuntukkan denda sehingga RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Tegasnya, sesiapa yang bersubahat melakukan aktiviti 'ulat' juga boleh didakwa mengikut Seksyen 243 (1) APAD 2010.
"Kenderaan yang disita boleh dilucut hak di bawah Seksyen 227 APAD 2010," ujarnya.
Jelasnya, kegiatan ulat ini merupakan gejala negatif yang merosakkan imej negara dan mendatangkan implikasi kepada ekonomi terutamanya dalam sektor pelancongan dan pengangkutan awam.