SHAH ALAM – [KEMAS KINI] Tindakan menyekat akses terhadap chatbox kecerdasan buatan (AI) Grok di platform media sosial X di negara ini adalah bersifat sementara, selaras dengan pendekatan yang turut diambil oleh Indonesia serta Filipina.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, kerajaan kini menunggu maklum balas rasmi daripada pihak X berhubung isu penyalahgunaan Grok yang didakwa digunakan bagi penghasilan kandungan lucah dan bersifat seksual secara terbuka.
“Kita akan teliti jawapan balas, hitam putih daripada pihak X. Sekiranya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) merasakan jawapan mereka selaras dengan pengesahan kita terhadap aplikasi tersebut, maka kita akan mengangkat sekatan itu.
“Dalam isu X dan Grok ini, ia agak unik memandangkan X adalah media sosial, manakala Grok pula aplikasi AI dalam platform yang sama, yang turut mempunyai akaun @Grok.
“Di situ kita berdepan dengan satu bentuk hibrid. Kita juga melihat situasi yang sama dalam aplikasi pemesejan seperti WhatsApp, yang kini dilengkapi fungsi AI oleh Meta,” katanya dalam sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat pada Khamis.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Mumtaz Md Nawi (PN–Tumpat) yang meminta Menteri Komunikasi menyatakan langkah susulan sekatan sementara akses AI Grok di Malaysia, termasuk aspek kawal selia, penguatkuasaan, pemantauan berterusan serta langkah jangka panjang bagi perlindungan kumpulan rentan daripada kandungan berbahaya dalam media sosial.
Ujar Fahmi, platform X buat masa ini tidak tertakluk kepada keperluan pelesenan berikutan jumlah penggunanya di negara ini masih belum mencecah lapan juta.
Menurutnya, kerajaan sedang menilai semula had ambang berkenaan memandangkan risiko dan kemudaratan dalam talian boleh berlaku walaupun sesebuah platform mempunyai jumlah pengguna yang lebih kecil.
“Pada waktu ini, X dikecualikan daripada dilesenkan kerana mereka mengatakan tidak mempunyai lapan juta pengguna di Malaysia.
“Bagaimanapun, pihak kerajaan dan SKMM telah meneliti perkara ini. Memandangkan insiden yang agak besar telah berlaku, maka kita akan melihat semula had ambang tersebut kerana kemudaratan dalam talian tidak bererti tidak berlaku walaupun jumlah pengguna kurang daripada lapan juta,” ujarnya.