SHAH ALAM – Langkah memperkenalkan pendaftaran secara sukarela ke Tahun Satu pada usia enam tahun dilihat sejajar dengan amalan pendidikan global, sekali gus menempatkan Malaysia seiring dengan 143 negara yang telah lama mengguna pakai pendekatan serupa.
Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar berkata, pendedahan awal kepada persekitaran pembelajaran berstruktur membolehkan intervensi bertempat, membantu mengenal pasti keperluan perkembangan serta menyediakan asas kepada pembelajaran sepanjang hayat dengan lebih berkesan kepada kanak-kanak.
Beliau turut berharap dasar tersebut dapat membantu ibu bapa bekerja dalam menghadapi peningkatan kos penjagaan anak-anak.
“Seperti dilaporkan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) pada 2019, kos penjagaan dan pendidikan awal kanak-kanak yang tinggi dikenal pasti sebagai antara penyumbang beban kewangan pasangan muda berusia 20 hingga 40 tahun.
“Tambahan pula, pelaksanaan dasar ini perlu mengambil kira jurang kesediaan dari segi prasarana dan tenaga pengajar antara wilayah, khususnya di kawasan luar bandar, pedalaman serta Sabah dan Sarawak. Ini kerana peralihan secara sukarela berpotensi mewujudkan lonjakan bilangan murid dalam tempoh singkat.
“Tanpa pendekatan yang berbeza mengikut konteks setempat, risiko ketidaksamaan akses dan kualiti pendidikan awal berkemungkinan terus melebar,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan bahawa bermula tahun depan, pendidikan prasekolah akan bermula pada usia lima tahun manakala Tahun Satu pula pada usia enam tahun, sebagaimana diumumkan dalam Majlis Peluncuran Rancangan Pendidikan Negara (RPN) 2026–2035 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).
Menurut Anwar, perubahan ini masih belum diwajibkan kepada ibu bapa dan dibuat sebagai langkah sejajar dengan peredaran masa serta keperluan semasa.
Mengulas lanjut, Nurul Izzah turut menekankan bahawa pendedahan awal kepada Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di sekolah kebangsaan juga amat penting dan wajar diberikan penekanan khusus.
Katanya, pendedahan awal kepada TVET adalah selaras dengan fenomena ‘the lost boys’ seperti yang dilaporkan oleh Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) pada 2023.
“Statistik tahun 2025 menunjukkan 53.56 peratus lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) memilih laluan TVET. Pendedahan awal TVET di peringkat sekolah rendah dan menengah bukan sahaja membina asas kemahiran, malah turut menarik minat murid sejak awal serta menjamin kesinambungan kurikulum hingga ke alam pekerjaan yang lebih bersesuaian dengan kehendak industri.
“Negara seperti Jerman dan Finland telah lama menyepadukan pembelajaran berasaskan kemahiran dan aplikasi dunia sebenar sejak sekolah rendah dengan penekanan kepada eksplorasi minat, literasi kerja serta pembinaan asas kemahiran.
“Ini terbukti membantu meningkatkan penglibatan murid serta mengurangkan risiko keciciran di peringkat menengah,” ujarnya.
Mengulas mengenai keputusan meletakkan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) sebagai peneraju tunggal sistem pendidikan prauniversiti, termasuk Tingkatan Enam dan matrikulasi mulai 2027, Nurul Izzah menyifatkannya sebagai langkah baik ke arah perancangan jangka panjang.
Jelas bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh itu, perubahan tersebut membolehkan penempatan ke universiti awam menjadi lebih inklusif dengan keberkesanan penggunaan sumber dan bakat sedia ada.
“Keputusan ini dibuat berikutan kebimbangan terhadap kekurangan tempat bagi kursus-kursus popular, terutamanya dalam kalangan pelajar yang memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan tetapi sukar mendapat tempat di universiti.
“Ternyata, pendidikan perlu dipandu oleh kompas moral yang kukuh. Pelaksanaan pelan yang menitikberatkan etika, integriti, empati dan tanggungjawab sosial sebagai teras pengajaran dan pembelajaran mampu memastikan kecemerlangan akademik seiring dengan pembentukan sahsiah,” katanya lagi.
Justeru, Nurul Izzah berpandangan bahawa gandingan erat antara ibu bapa, tenaga pengajar, badan bukan kerajaan (NGO), Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta pemegang taruh lain adalah kunci utama bagi memastikan pelaksanaan RPN 2026–2035 berlangsung secara tuntas dan menyeluruh.