SHAH ALAM - Badan bukan kerajaan (NGO), Syria Care berangkat ke Syria hari ini bagi menjayakan Misi Kemanusiaan Syria Care 20.0, memfokuskan agihan bantuan musim sejuk dan persediaan awal menjelang ketibaan bulan Ramadan menerusi pelaksanaan projek 'Winter Aid 13'.
Pengerusi Syria Care, Siti Sakinah Meor Omar Baki berkata, pelbagai bentuk keperluan asas disalurkan melalui misi berkenaan termasuk agihan makanan, bahan bakar pemanas, pakaian musim sejuk serta bantuan sokongan kehidupan bagi meringankan beban penduduk terjejas.
Di samping itu, kata beliau, misi tersebut turut menjadi sebahagian daripada persediaan awal Syria Care dalam menyambut Ramadan agar komuniti terkesan tidak terpinggir ketika memasuki bulan yang penuh keberkatan.
Menurut Siti Sakinah lagi, Misi Kemanusiaan Syria Care 20.0 juga disertai Ikon Kemanusiaan Syria Care iaitu Lufya Omar sebagai tanda sokongan dan solidariti rakyat Malaysia terhadap usaha yang dilaksanakan di bumi Syam.
"Projek ini dilaksanakan ketika rakyat Syria terus berdepan kesan konflik berpanjangan, kemusnahan infrastruktur asas serta musim sejuk yang ekstrem, hingga menjejaskan kehidupan ribuan keluarga khususnya golongan pelarian, warga emas, wanita dan kanak-kanak.
"Pelaksanaan misi ini bukan sekadar membawa bantuan fizikal, ia merupakan simbol amanah, kasih sayang dan keprihatinan rakyat Malaysia yang disampaikan terus kepada rakyat Syria.
"Setiap sumbangan diterjemahkan melalui kerja lapangan secara telus dan berfokus bagi memastikan bantuan sampai kepada mereka yang benar-benar memerlukan," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Tambah Siti Sakinah, misi itu juga mencerminkan komitmen berterusan Syria Care memperjuangkan agenda kemanusiaan, memperkukuh solidariti ummah serta menyatukan usaha rakyat Malaysia dalam membantu saudara yang ditindas dan terkesan akibat konflik.
Untuk sumbangan atau pertanyaan lanjut, hubungi Syria Care di talian +6013-971 5901, Tabung Winter Ramadan 14 (Syria, Palestin dan Lubnan) serta akaun Maybank (5505 1424 0482).