NEW YORK– Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, telah menubuhkan sebuah organisasi antarabangsa baharu yang dinamakan 'Lembaga Keamanan' untuk menyelia gencatan senjata antara Israel dan Hamas di Gaza, namun peranan sebenar lembaga itu kini menimbulkan kekeliruan dan kontroversi global.
Surat jemputan telah dihantar kepada pelbagai negara termasuk sekutu rapat AS seperti Kanada, Perancis, Britain, dan Arab Saudi, serta negara yang bukan sekutu seperti Rusia, China dan Belarus.
Analisis terhadap piagam lembaga yang dihantar bersama jemputan menunjukkan bahawa Trump bercita-cita agar Lembaga Keamanan bukan sahaja terlibat secara langsung dalam menangani konflik Gaza, tetapi juga konflik lain di seluruh dunia.
Pengkritik menegaskan bahawa penubuhan lembaga ini boleh menjadi pesaing dominan Amerika Syarikat terhadap Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), yang sejak sekian lama menjadi sasaran kritikan Trump kerana didakwa bersikap liberal dan boros.
Sebagai pengerusi, Trump mempunyai pengaruh besar ke atas Lembaga Keamanan tersebut.
Negara yang ingin memperoleh keanggotaan tetap diminta membayar lebih AS$1 bilion,( RM4,056 bilion) walaupun jumlah kawalan Trump terhadap perbelanjaan dana itu masih tidak jelas.
Kewujudan subkomiti yang melibatkan Turkiye dan Qatar menimbulkan kritikan segera daripada Israel, yang mempunyai ketegangan dengan kerajaan Turkiye, khususnya berhubung perang di Gaza.
Menurut piagam yang dikaji, Lembaga Keamanan pada awalnya dirancang untuk membantu pemulihan Gaza selepas perang, dengan Trump mengetuai lembaga dan anggota terdiri daripada pemimpin dunia.
Resolusi yang didraf oleh AS dan disokong oleh Majlis Keselamatan PBB memberi mandat rasmi untuk merekrut pengaman antarabangsa bagi Gaza dan memantau pelaksanaan rancangan Trump sehingga Pihak Berkuasa Palestin melaksanakan pembaharuan.
Namun, piagam itu jelas menunjukkan bahawa Trump membayangkan peranan lembaga yang lebih besar, termasuk 'menjamin keamanan berkekalan di kawasan yang terjejas atau terancam konflik' dan mewujudkan 'badan pembinaan keamanan antarabangsa yang lebih lincah dan efektif'.
Senarai jemputan termasuk Britain, Jordan, dan Rusia, tetapi hanya beberapa pemimpin bersetuju menyertai, antaranya Presiden Argentina yang pro-Trump, Javier Milei, dan Perdana Menteri Hungary, Viktor Orban.
Setakat ini, lembaga itu belum mempunyai wakil Palestin, walaupun ia akan memantau kerja kumpulan teknokrat Palestin yang mengurus perkhidmatan awam di Gaza, yang berdepan cabaran besar kerana wilayah itu masih terbahagi antara kawalan Israel dan Hamas.
Beberapa negara skeptikal terhadap yuran keanggotaan tetap, manakala Perancis menegaskan ia tidak akan menyertai, mencetuskan ancaman Trump untuk mengenakan cukai 200 peratus ke atas wain dan champagne Perancis.
Israel pula mengkritik keanggotaan Qatar dan Turkiye dalam subkomiti, mendakwa kedua-dua negara terlalu rapat dengan Hamas walaupun membantu mediasi gencatan senjata.
Dengan kuasa veto yang luas, hak menamakan pengganti, dan kuasa membentuk atau membubarkan subentiti berkenaan, Lembaga Keamanan Trump menimbulkan persoalan sama ada ia akan menjadi alat diplomasi global sebenar atau lebih kepada projek peribadi Amerika yang berpotensi menyaingi PBB.
INFO
Badan eksekutif lembaga ini termasuk beberapa tokoh ternama, antaranya Setiausaha Negara AS Marco Rubio, perunding khas Trump Steve Witkoff, menantu Trump Jared Kushner, bekas Perdana Menteri UK Tony Blair, jutawan AS Marc Rowan, Presiden Bank Dunia Ajay Banga, dan pegawai Trump di Majlis Keselamatan Negara Robert Gabriel.