9 individu ditahan jual bayi di TikTok

Iklan
Pihak berkuasa mendedahkan kegiatan pemerdagangan bayi di Medan, Indonesia baru-baru ini. Foto Agensi.

MEDAN - Sembilan individu ditahan polis selepas dipercayai terlibat dalam sindiket pemerdagangan bayi yang beroperasi melalui skim pengambilan anak angkat secara haram di TikTok, lapor CNN Indonesia.

Ketua Polis Medan, Jean Calvijn Simanjuntak berkata, sindiket itu dipercayai telah menjual sekurang-kurangnya dua bayi dengan harga antara 9 juta rupiah (RM2,151) hingga 25 juta rupiah (RM5,976) setiap seorang.

Iklan
Iklan

Menurutnya, bayi berkenaan dijual kepada pembeli di beberapa bandar di Sumatera Utara, selain Riau dan Aceh.

"Siasatan turut mengenal pasti kewujudan rangkaian pembeli yang lebih luas, merentasi wilayah.

Iklan

Sembilan ditahan terlibat dalam pemerdagangan bayi di Medan, Indonesia. Foto Agensi

"Siasatan masih diteruskan dan kami sedang memburu tiga lagi suspek yang menjadi sebahagian daripada rangkaian sindiket ini,” katanya.

Iklan

Kes itu terbongkar hasil maklumat awam apabila penduduk melaporkan aktiviti mencurigakan di sebuah rumah sewa di daerah Medan Johor.

Menurut saksi, beberapa wanita hamil sering dilihat keluar masuk rumah berkenaan dalam tempoh tertentu yang menimbulkan kecurigaan.

Jean berkata, ketika serbuan terdapat seorang wanita sedang menunggu masa untuk melahirkan anak di lokasi berkenaan.

"Wanita terbabit telah bersetuju untuk menjual bayinya kepada sindiket dengan bayaran 9 juta rupiah dan untuk dijual semula kepada pembeli dengan harga 20 juta rupiah.

"Dia bersetuju dengan perjanjian itu akibat tekanan kewangan yang teruk dan bercadang menggunakan wang tersebut untuk menampung kos pemprosesan dokumen bagi mendapatkan pekerjaan di Malaysia," katanya.

Pihak berkuasa turut mendedahkan bahawa bayi-bayi berkenaan diperdagangkan ketika masih berusia beberapa hari pada harga lebih tinggi.

Sindiket itu lazimnya menyasarkan wanita hamil yang menghadapi kesempitan hidup, termasuk mereka yang tidak mempunyai pekerjaan tetap atau sokongan keluarga.

Pihak polis menegaskan bahawa siasatan akan diteruskan bagi membongkar sepenuhnya rangkaian pemerdagangan bayi berkenaan termasuk mengenal pasti pembeli dan pihak profesional yang terlibat.