WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump memberi amaran keras kepada Iran bahawa negara itu akan menerima tindak balas ketenteraan yang dahsyat sekiranya berlaku sebarang cubaan membunuh dirinya.
Trump berkata, beliau telah mengeluarkan arahan tegas kepada pihak keselamatan dan ketenteraan Amerika Syarikat berhubung ancaman yang didakwa datang daripada kepimpinan Iran.
“Mereka tidak sepatutnya berbuat demikian, tetapi saya sudah mengeluarkan pemberitahuan.
"Jika apa-apa berlaku kepada saya, seluruh negara itu akan diletupkan,” katanya dalam satu temu bual bersama saluran berita NewsNation, ketika ditanya mengenai ancaman berterusan terhadap dirinya.
Menurut Trump, bekas Presiden Joe Biden sepatutnya mengambil pendirian lebih tegas apabila ancaman seumpama itu mula disuarakan sebelum ini, sambil mendakwa kegagalan kepimpinan terdahulu telah menggalakkan tindakan provokatif.
“Jika ancaman seperti itu dibuat terhadap sesiapa sahaja, walaupun bukan seorang Presiden, saya akan bertindak balas dengan serangan yang sangat keras,” katanya.
Trump turut menegaskan beliau telah mengeluarkan arahan khusus sekiranya ancaman itu direalisasikan.
“Saya mempunyai arahan yang sangat jelas - jika apa-apa berlaku, mereka akan dihapuskan dari muka bumi,” tambahnya.- Agensi