KUALA LUMPUR - Kegiatan penyeludupan rokok terus menjadi antara ancaman ekonomi paling serius kepada negara apabila pasaran gelap rokok dianggarkan bernilai sehingga RM5 bilion setahun, mencerminkan skala besar ekonomi gelap yang masih berakar dalam sistem.
Kementerian Kewangan (MOF) telah melaporkan bahawa Malaysia telah menghilang RM 1.4 bilion daripada cukai tidak dibayar sejak 5 tahun yang lalu, antaranya akibat aktiviti penyeludupan rokok.
Menurut data MOF, duti belum berbayar yang direkodkan akibat rokok seludup berjumlah:
Angka-angka ini bukan sekadar mencerminkan kehilangan hasil negara, tetapi juga menunjukkan kewujudan rangkaian penyeludupan yang tersusun, berdaya tahan dan mampu menyesuaikan diri dengan tekanan penguatkuasaan yang semakin meningkat.
Menurut penganalisis keselamatan dan pertahanan, Zaki Salleh, isu penyeludupan rokok perlu dilihat sebagai ancaman strategik terhadap keselamatan ekonomi negara, bukan sekadar isu penguatkuasaan sempadan semata-mata.
“Sempadan negara bukan sekadar garis geografi. Ia adalah barisan hadapan pertahanan ekonomi. Selagi kelemahan wujud di sempadan, selagi itulah kegiatan ekonomi gelap akan terus berkembang,” katanya.
Zaki berkata, usaha penguatkuasaan oleh agensi keselamatan seperti Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kekal kritikal dan wajar diberi pengiktirafan.
Pada tahun 2025 sahaja, JKDM berjaya mematahkan 2,742 kes cubaan seludup rokok, mencerminkan tahap komitmen dan intensiti operasi yang tinggi.
Namun, beliau menegaskan bahawa keberkesanan penguatkuasaan perlu dilihat dalam konteks hasil keseluruhan pasaran.
“Usaha ini wajar dipuji, tetapi ia masih kecil berbanding saiz pasaran gelap tembakau di Malaysia. Tanpa penyelarasan yang lebih menyeluruh, kesannya sukar untuk berkekalan,” katanya pada Rabu.
Zaki berkata pendekatan kawalan sempadan kini tidak lagi boleh bergantung kepada kaedah konvensional memandangkan sindiket penyeludupan semakin licik dan beroperasi secara terancang.
“Penyeludup hari ini menggunakan teknologi, sistem logistik moden dan laluan alternatif bagi mengelak dikesan. Operasi mereka merentasi darat dan perairan, termasuk kawasan yang sukar dipantau secara fizikal,” katanya.
Menurut Zaki, cabaran sebenar terletak pada jurang struktur harga yang ketara antara produk rokok sah dan tidak sah, yang terus mengekalkan permintaan di peringkat pengguna dan peruncit.
“Perbezaan harga ini mewujudkan insentif ekonomi yang kuat untuk rokok seludup terus beredar, khususnya dalam persekitaran kos sara hidup yang mencabar. Dalam keadaan sedemikian, penguatkuasaan semata-mata menjadi semakin sukar untuk mengekang permintaan secara menyeluruh,” katanya.
Beliau berpandangan bahawa selagi faktor permintaan ini tidak ditangani, pasaran gelap akan terus menyesuaikan diri walaupun penguatkuasaan dipertingkatkan.
Sehubungan itu, Zaki menegaskan bahawa kerajaan perlu mula meneroka langkah-langkah reformasi dasar yang lebih menyeluruh bagi mengecilkan jurang permintaan terhadap produk rokok tidak sah.
Menurut beliau, kerangka dasar sedia ada perlu dinilai secara objektif agar matlamat kesihatan awam, kutipan hasil negara dan realiti pasaran dapat diseimbangkan dengan lebih berkesan.
Dalam masa yang sama, beliau menekankan kepentingan pelaksanaan penuh peranan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) sebagai penyelaras utama kawalan sempadan bagi mengelakkan pertindihan tugas antara agensi.
Selain penyelarasan, Zaki berkata pemanfaatan teknologi secara lebih agresif, termasuk penggunaan dron, sensor infra-merah, kamera pintar berasaskan kecerdasan buatan (AI) dan sistem pengesanan kenderaan berasaskan GPS, mampu meningkatkan keupayaan pengesanan serta menutup jurang kelemahan di sempadan.
Menurut Zaki Lagi, tanpa pendekatan bersepadu dan konsisten, pasaran gelap rokok akan terus menjejaskan hasil cukai negara serta melemahkan daya tahan ekonomi dalam jangka panjang.