KOTA KINABALU - Bekas pengetua dan bekas ketua warden sebuah sekolah agama di Papar mendedahkan dokumen baharu semasa dipanggil semula memberi keterangan dalam inkues kematian Zara Qairina Mahathir, yang berpotensi membantu prosiding Mahkamah Koroner.
Bekas pengetua, Shaharoom Hashim, saksi ke-47, memaklumkan terdapat dua laporan berkaitan kes Zara Qairina yang diterimanya melalui aplikasi WhatsApp, masing-masing untuk simpanan sendiri dan untuk diserahkan kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD).
“Pada ketika itu kami menghantar melalui WhatsApp untuk mempercepatkan proses. Laporan itu sudah ditaip dan ditandatangani Ustaz Azhari,” katanya semasa sesi soal jawab oleh peguam, Shahlan Jufri.
Shahlan turut bertanya mengenai tarikh saksi menerima dua laporan bertulis tersebut iaitu laporan awal kes murid jatuh di asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Limauan, Papar dan laporan awal kes Zara Qairina yang mengandungi tiga muka surat.
"Laporan pertama diterima pada 16 Julai di hospital, kami ingin hantar ke PPD dan juga Jabatan Pendidikan Negeri (JPN).
"Yang kedua, beberapa hari selepas ada laporan untuk hari pertama, 16 dan 17 Julai ketika pihak kementerian turun dan diminta oleh JPN, namun tarikh tidak pasti," kata Shaharoom.
Sementara itu, bekas ketua warden, Azhari Abdul Sagap, saksi kelapan, mendedahkan penemuan sehelai kertas oleh seorang pelajar semasa gotong-royong di aras tiga sekolah.
"Kertas ini dijumpai oleh pelajar D, mereka jumpa semasa gotong-royong sekolah di aras tiga digantung di pagar koridor. Apa yang ditulis ialah 'Zara Qai A35 sok badar, terpaling mahu jaga Form 1, solat, tahulah mahu jadi badar. Bodoh. Lepas itu alasan Kak Dayang suruh'.
"Itu yang ditulis di kertas itu, saya tidak ingat tapi masa Zara balik Sipitang. Pelajar D serahkan pada saya. Hari kejadian 16 haribulan, minggu selepasnya diserahkan kepada saya dan saya serah kepada polis," katanya sambil merujuk kepada telefon bimbitnya mengenai kertas tersebut.
Beliau turut menjelaskan bahawa kertas tersebut telah diambil gambar dan sekali lagi menegaskan bahawa ia ditemui sebelum insiden menimpa Zara Qairina.
Prosiding inkues yang melibatkan saksi-saksi ini dijadual disambung semula pada Khamis selepas ditangguhkan lebih awal oleh Hakim Koroner, Amir Shah Amir Hassan.
Shahlan bersama pasukannya mewakili ibu Zara Qairina, Noraidah Lamat, dalam inkues tersebut.