KOTA KINABALU - Saksi kelapan dalam inkues Zara Qairina Mahathir mengesahkan bahawa memang terdapat pesanan didakwa daripada pegawai penyiasat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Papar, untuk guru sampaikan kepada ibu remaja tersebut bahawa kes yang berlaku tidak perlu ditularkan.
Saksi, Azhari Abdul Sagap yang juga merupakan bekas ketua warden di sekolah menengah agama di Papar, memaklumkan perkara itu semasa diminta menjawab soalan mengenai baris ayat yang terdapat dalam laporan yang didedahkan bekas pengetua sekolah tersebut.
Semasa sesi soal jawab yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Fairuz Johari meminta saksi menjelaskan dalam laporan yang disediakan menyatakan Cikgu Asnie ada berjumpa ibu Zara Qairina dan memberikan kata-kata semangat serta menyampaikan pesanan daripada pegawai penyiasat IPD Papar agar jangan menularkan kes tersebut.
Beliau juga diminta untuk menjelaskan dari mana pesanan itu diterimanya sehingga dilaporkan dalam laporan tersebut.
"Saya kumpul dari guru-guru, saya tanya Cikgu Asnie semasa kami di tapak perkuburan," katanya semasa memberi keterangannya semula di hadapan Hakim Koroner, Amir Shah Amir Hassan di Mahkamah Koroner, di sini pada Rabu.
Sebelum itu, beliau memaklumkan turut menyediakan laporan berhubung kes Zara Qairina.
"Ada (sediakan) laporan kronologi bagaimana dijumpa, bawa ke hospital hingga dibawa ke kuburan iaitu pada 16 dan 17 Julai.
"Ini (laporan) diminta oleh pentadbir," katanya.