Tiga pegawai imigresen, seorang peniaga didakwa terlibat 'counter setting'

Iklan
Haslan (kanan) dan Md Azhar tiba di Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada Rabu.

JOHOR BAHRU – Tiga pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan seorang pemilik restoran mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, pada Rabu, atas 18 pertuduhan berkaitan ‘counter setting’ bagi membawa masuk dan keluar pengembara antara tahun 2023 hingga 2025.

Kesemua mereka, Ridzal Mohd Yasin, 43; Hairizam Mohamed, 58, dan Md Azhar Jamal, 40, merupakan Pegawai Imigresen KP2, manakala pemilik restoran, Haslan Hazilah, 57, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Iklan
Iklan

Mengikut pertuduhan, Md Azhar Jamal yang bertugas di Pejabat Imigresen Pasir Gudang didakwa atas 14 pertuduhan bersetuju menerima suapan berjumlah keseluruhan RM28,600 tanpa balasan daripada seorang wanita melalui pindahan atas talian daripada akaun bank milik wanita tersebut.

Perbuatan itu mempunyai kaitan dengan tugas rasmi tertuduh yang bertanggungjawab menyemak dan memastikan dokumen perjalanan warga asing untuk tujuan keluar masuk ke Malaysia adalah sah.

Iklan

Pertuduhan itu didakwa dilakukan di sebuah bank cawangan Simpang Renggam, Kluang, antara 16 Julai 2024 hingga 24 Februari 2025.

Hairizam (depan) dan Ridzal (belakang, kanan) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada Rabu.

Iklan

Kesemua pertuduhan tersebut dilakukan di sebuah bank di Jalan Kijang, Taman Mohd Yasin, Simpang Renggam, Kluang dalam tempoh yang sama.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Tertuduh kedua, Ridzal didakwa atas dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM1,700 daripada seorang ejen tiket sebagai dorongan memudah cara kemasukan pengembara warga Indonesia ke Malaysia.

Beliau didakwa melakukan perbuatan tersebut di dalam sebuah tandas berhampiran kaunter Imigresen Terminal Feri Pasir Gudang antara April dan Ogos 2023.

Sementara itu, Hairizam pula didakwa menerima wang rasuah RM100 daripada seorang lelaki sebagai dorongan memudah cara urusan kemasukan migran dari Indonesia ke Malaysia.

Beliau dituduh melakukan kesalahan itu di Pejabat Imigresen Pasir Gudang pada 28 Ogos 2024.

Pemilik restoran, Haslan, turut didakwa menerima rasuah RM1,200 daripada seorang individu sebagai orang tengah bagi membantu memudah cara urusan keluar masuk pengembara dari Indonesia ke Malaysia.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah kedai makan di Jalan Sulaiman, Muar, pada 11 November 2024.

Ketiga-tiga tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) dan 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun atau denda, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa SPRM, Fazal Lisam Abidin, Ameera D’aneez Mohd Shukari dan Muhamad Faizul Kamaro Zaman.

Md Azhar diwakili peguam Abd Rahim Ali; Ridzal diwakili Mohammad Muzammil Mohammad Hairiri; Hairizam diwakili Shuhaila Saifi’uddin; manakala Haslan diwakili Nurashidah Md Razip.

Hakim menetapkan ikat jamin sebanyak RM8,000 terhadap Ridzal, Hairizam dan Haslan, manakala RM10,000 terhadap Md Azhar.

Kesemua mereka turut diarahkan menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri di pejabat SPRM terdekat setiap bulan.

Mahkamah menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 24 Februari depan bagi Ridzal, manakala 25 Februari untuk Md Azhar, Haslan dan Hairizam.