JOHOR BAHRU - Helah sindiket pengedaran dadah yang menjadikan hotel bajet sebagai lokasi transit dan makmal mini memproses dadah terbongkar susulan penahanan dua lelaki di sebuah hotel di Danga Bay, di sini, Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, kedua-dua suspek berusia 35 dan 37 tahun itu ditahan kira-kira jam 3 pagi di sebuah bilik hotel berkenaan.
Menurutnya, hasil pemeriksaan awal membawa kepada rampasan dadah jenis methamphetamine seberat 2.25 gram, ketamin (100 gram) serta pil yaba seberat 80 gram.
“Susulan penahanan itu, polis menyerbu sebuah lagi bilik di hotel sama dan menemukan dadah jenis ekstasi seberat 7.7884 kilogram selain pelbagai peralatan memproses dadah.
“Turut dirampas sebuah kereta Honda Civic dianggarkan bernilai RM80,000. Keseluruhan nilai rampasan dadah dianggarkan RM1.08 juta,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan di sini, pada Rabu.
Raub berkata, siasatan awal mendapati kedua-dua suspek sering berpindah-randah dan menyewa hotel bajet bagi mengaburi pergerakan mereka daripada dikesan pihak berkuasa.
Menurutnya, sindiket yang dipercayai aktif sejak dua bulan lalu itu memperoleh bekalan dadah dalam kuantiti besar sebelum membungkus semula untuk pasaran tempatan dengan harga sekitar RM250 bagi setiap paket.
“Kesemua dadah yang dirampas dianggarkan boleh digunakan oleh seramai 80,184 penagih,” katanya.
Beliau berkata, semakan rekod mendapati kedua-dua suspek mempunyai rekod jenayah dan dadah selain didapati positif methamphetamine hasil ujian saringan air kencing.
Kedua-dua suspek kini direman sehingga esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.