BERA -Identiti mayat lelaki yang ditemui dalam keadaan hampir reput di kawasan ladang sawit di Mengkarak, Bera, Selasa lalu masih belum dikenal pasti, namun polis tidak menolak kemungkinan mangsa merupakan lelaki kurang siuman yang sebelum ini sering merayau di kawasan tersebut.
Ketua Polis Daerah Bera, Superintenden Zulkiflee Nazir berkata, andaian itu dibuat berdasarkan persamaan fizikal dan pakaian mangsa dengan seorang lelaki kurang siuman yang pernah dirakam polis kira-kira dua minggu lalu.
Menurutnya, semasa pemeriksaan sebelum ini, anggota polis telah merakam gambar lelaki terbabit, namun tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemui bersamanya.
“Kita membuat perbandingan berdasarkan gambar yang ada dalam simpanan polis. Bagaimanapun, warna pakaian pada mayat tersebut telah berubah,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Zulkiflee berkata, lelaki berkenaan juga dilaporkan tidak lagi kelihatan merayau di kawasan itu sejak kebelakangan ini.
“Namun setakat ini, tiada sebarang laporan orang hilang diterima di daerah ini,” katanya.
Beliau berkata, mayat mangsa kini berada di Unit Forensik Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS), Temerloh untuk proses bedah siasat yang dijadualkan petang ini.
Dalam pada itu, orang ramai yang mempunyai maklumat atau kehilangan ahli keluarga diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat di talian 019-9101044 atau 09-2508222, atau mana-mana balai polis berhampiran.
Menurut Zulkiflee, mayat lelaki tanpa identiti itu ditemui orang awam kira-kira jam 10 pagi sebelum dimaklumkan kepada polis.
“Siasatan awal di lokasi kejadian tidak menemui sebarang unsur jenayah. Kes setakat ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut, manakala punca kematian dan pengesahan identiti masih dalam siasatan,” katanya.