SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ibarat seorang doktor. Doktor yang boleh merawat, memberi preskripsi dan menasihati pesakit agar menjaga kesihatan.
Tetapi jika pesakit gagal mengamalkan gaya hidup sihat, adakah wajar menyalahkan doktor semata-mata apabila penyakit datang? Begitu juga rasuah, peranan utama mencegah dan menjaga integriti bermula dari dalam organisasi berkaitan itu sendiri.
Merak Jalanan berpandangan, SPRM bertanggungjawab dalam tiga aspek utama iaitu pencegahan, pendidikan dan penguatkuasaan undang-undang. Namun, tanggungjawab itu bukan mutlak.
Sebagai langkah tangani rasuah, SPRM juga telah menempatkan pegawai integriti di pelbagai agensi sebagai sistem sokongan.
Namun, bagi Merak Jalanan, pegawai ini bukanlah 'penjamin mutlak' menghalang rasuah. Tanggungjawab sebenar tetap terletak pada setiap individu, jabatan, kementerian dan juga pihak swasta.Masyarakat pula perlu lebih adil dalam menuntut tanggungjawab.
Jika berlaku pelanggaran undang-undang, ia bukan semata-mata kegagalan SPRM. Sebaliknya, ia mencerminkan kegagalan sistem kawalan dalaman organisasi terlibat.
SPRM hadir sebagai penyelamat selepas jenayah berlaku, bukan sebagai pengawal tunggal yang mampu mencegah segalanya.
Akhir-akhir ini banyak isu rasuah melanda dan melibatkan siasatan telus termasuk tindakan tegas kementerian.
Rasuah ialah penyakit sosial yang tidak boleh ditangani oleh satu 'doktor' sahaja.
Setiap agensi perlu memperkukuh integriti dari dalam. Jika semua pihak memainkan peranan, barulah kita mampu bina negara yang bebas rasuah.