ZAMAN sekarang, jangan rasa selamat hanya sebab tak nampak kamera.
Hakikatnya, CCTV (kamera litar tertutup) paling berbahaya bukan milik pihak berkuasa tempatan (PBT), tapi milik netizen.
Telefon pintar di tangan orang ramai sudah jadi ‘mata’ yang sentiasa terbuka, merakam gerak-geri tanpa kita sedar.
Jangan buat sesuka hati depan khalayak. Silap hari, belakang lorong sunyi pun boleh jadi lokasi rakaman.
Sekali perbuatan dirakam, video itu bukan sekadar tersimpan dalam telefon, ia boleh tersebar ke WhatsApp, Facebook, TikTok dan X dalam beberapa minit. Masa tu, nak menyesal pun dah terlambat.
Justeru, Merak Jalanan saja nak ingatkan jangan suka hati tampar orang, acah gengster, tunjuk pengunci stereng atau kayu hoki.
Aksi kononnya berani itu sebenarnya tiket ekspres ke ‘mahkamah netizen’. Belum sempat pihak berkuasa jalankan siasatan, netizen dah siap buat kerja detektif.
Ada yang korek nama penuh, alamat rumah, tempat kerja, malah siap tahu kau anak siapa.
Lebih bahaya, semua itu disokong dengan bukti rakaman video. Tak kira rakaman jelas atau kabur, potongan video pendek pun cukup untuk membentuk persepsi.
Sekali wajah tersebar, label dah melekat. Nak betulkan keadaan bukan mudah, walaupun hakikat sebenar belum tentu sama dengan apa yang tular.
PBT dan pihak berkuasa memang ada memasang ribuan CCTV di tempat awam bagi tujuan keselamatan.
Tapi ramai lupa, di luar sana ada ratusan ribu lagi gajet, telefon, kamera papan pemuka, kamera motosikal, kamera kedai yang sentiasa bersedia merakam apa saja.
Kesimpulannya, kawal diri di mana saja. Dunia hari ini tiada zon off camera. Silap langkah, CCTV netizen akan jadi saksi paling pantas dan paling ‘kejam’.