ZAMAN sekarang, bercuti ke luar negara bukan lagi hak eksklusif golongan berada. Dengan perancangan rapi, disiplin kewangan dan sedikit pengorbanan, orang biasa pun mampu menjejakkan kaki ke luar negara.
Malah destinasi yang dulunya dianggap mustahil bukan lagi mustahil. Tiket penerbangan murah ada, penginapan bajet pun ada. Malah ramai ejen pelancongan berlumba-lumba menawarkan harga percutian yang berpatutan.
Bagi Merak Jalanan, percutian sebenar ialah keluar daripada rutin biasa, melihat budaya baharu dan membuka minda. Melancong juga satu bentuk terapi minda dan emosi.
Ia memberi ruang untuk seseorang bernafas daripada tekanan kerja dan kehidupan seharian, sambil membuka peluang memahami budaya, nilai dan cara hidup masyarakat lain.
Bagi anak-anak pula, pengalaman melancong melengkapkan proses pembelajaran mereka. Pengalaman seperti ini tidak tercatat dalam buku teks, tetapi kesannya besar dalam membentuk pemikiran mereka.
Namun perkara paling penting, bercuti jangan sampai berhutang. Jangan kerana mahu kelihatan 'travel goals', sanggup 'swipe' kad kredit tanpa fikir akibat. Percutian sepatutnya memberi ketenangan, bukan tekanan kewangan.
Jika gaji sederhana, pilih destinasi yang dekat dan munasabah. Jika bajet terhad, rancang lebih awal dan berbelanja secara berhemah. Jika tiada cuti panjang, ringkaskan perjalanan dan nikmati apa yang ada.
Hakikatnya, melancong tidak menuntut seseorang menjadi kaya, tetapi menjadi bijak mengurus kemampuan.
Sesekali, berilah ruang untuk diri sendiri melihat dunia, menambah pengalaman dan kembali bertenaga tanpa perlu memaksa diri atau berhutang demi kelihatan ‘mampu’.