SHAH ALAM – IJM Corporation Berhad (IJM) menafikan sekeras-kerasnya dakwaan pengubahan wang haram dan menegaskan komitmen penuh syarikat itu terhadap tadbir urus korporat, ketelusan serta integriti.
IJM, dalam satu kenyataan, memaklumkan bahawa Pengerusinya, Tan Sri Krishnan Tan, telah bertemu pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Selasa dan terus memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa.
Menurut IJM, kakitangan syarikat lain yang diminta untuk memberikan maklumat juga telah tampil memberikan kerjasama penuh sebagai sebahagian daripada proses berkenaan.
Mengulas laporan media yang diedarkan semalam, IJM menjelaskan bahawa individu yang dirujuk sebagai “penasihat syarikat” kepada IJM pernah dilantik pada masa lalu secara profesional bagi menyediakan perkhidmatan nasihat berkaitan sejumlah terhad transaksi korporat sahaja.
Syarikat itu turut menjelaskan bahawa IJM serta sekutunya di United Kingdom (UK) tidak mengetahui sebarang siasatan oleh Serious Fraud Office (SFO) UK.
“Kami tidak pernah dihubungi dan sebarang laporan yang menyatakan sebaliknya adalah tidak tepat,” menurut kenyataan itu yang diterima Sinar Harian pada Selasa.
Pada Isnin, beberapa laporan media mendakwa wujud siasatan terhadap IJM berkaitan pelaburan syarikat di United Kingdom, termasuk dakwaan penglibatan seorang individu yang digelar sebagai “penasihat syarikat”, serta dakwaan pengubahan wang haram dan kemungkinan siasatan oleh pihak berkuasa United Kingdom.
Berhubung dakwaan pengubahan wang haram, IJM menegaskan bahawa sejak 2012, pelaburan syarikat di UK dibiayai terutamanya melalui kemudahan pembiayaan yang diperoleh daripada institusi kewangan Malaysia.
Dana berkenaan kemudiannya dipindahkan kepada syarikat tujuan khas bagi projek berkaitan di UK, selain telah melalui proses penilaian perniagaan serta tadbir urus dalaman syarikat yang ditetapkan.
IJM turut menegaskan bahawa operasi perniagaan syarikat berjalan seperti biasa dan sebarang perkembangan material akan diumumkan melalui Bursa Malaysia selaras dengan keperluan pendedahan.