Polis Thailand mohon kerjasama Malaysia kes wanita disyaki tokan dadah

Iklan
Polis Thailand setakat ini gagal mengesan suspek dikenali sebagai Luna, berusia lingkungan 30-an, walaupun usaha pencarian telah dijalankan.

PASIR MAS - Polis Thailand memohon kerjasama pihak berkuasa Malaysia bagi mendapatkan maklumat lanjut berkaitan seorang wanita rakyat Malaysia yang dipercayai menjadi tokan dadah dan disyaki melarikan diri ke Thailand, susulan rampasan ganja bernilai RM1.82 juta oleh polis Malaysia, awal bulan ini.

Ketua Polis Daerah Sungai Golok, Thun Sirikhunt berkata, pihaknya setakat ini gagal mengesan suspek dikenali sebagai Luna, berusia lingkungan 30-an, walaupun usaha pencarian telah dijalankan.

Iklan
Iklan

Bercakap kepada media Malaysia pada Selasa menerusi penterjemah tempatan, beliau berkata, pihaknya telah memohon maklumat lanjut daripada pihak polis Malaysia bagi membantu siasatan dan usaha mengesan suspek.

"Maklumat awal yang diperoleh mendapati wanita berkenaan dipercayai mempunyai dua kerakyatan. Usaha pencarian telah dijalankan di sekitar pekan Sungai Golok, namun sehingga kini pihak kami masih belum menerima sebarang maklumat baharu atau berjaya mengesan suspek,” katanya.

Iklan

Pada 11 Januari, Bernama melaporkan polis telah menumpaskan sindiket pengedaran dadah di Kelantan dengan penahanan tiga lelaki tempatan serta rampasan 52 kilogram bunga ganja bernilai RM1.82 juta dalam dua siri serbuan di Kuala Krai, pada 3 Januari.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan dilapor berkata, sindiket yang aktif sejak September 2024 itu, dipercayai didalangi seorang wanita berusia lingkungan 30-an dari negara jiran dan disyaki mempunyai dwikerakyatan. - Bernama

Iklan