DEWAN Perniagaan Melayu Malaysia – Dewan Muda (DPMM Dewan Muda) menegaskan cadangan pengambilalihan IJM Corporation Berhad oleh Sunway Berhad bukan urus niaga korporat biasa atau sekadar keputusan Lembaga Pengarah kerana melibatkan isu kepentingan negara.
Pengerusinya, Hisham Abdul Hamid berkata, kerajaan khususnya Perdana Menteri wajar campur tangan dan mempertimbangkan supaya urusniaga ini ditangguhkan sementara untuk penelitian yang lebih menyeluruh.
“Kerajaan tidak boleh berlindung di sebalik hujah “ini keputusan pasaran”. Jika kerajaan boleh campur tangan dalam isu beras, petrol, tol dan tenaga mengapa tidak dalam isu pemilikan aset infrastruktur strategik negara?,”
“IJM bukan syarikat kecil. Ia merupakan pemilik aset infrastruktur strategik negara yang melibatkan konsesi jangka panjang, projek utama dan aset fizikal yang tidak boleh digantikan.
“Pemegang saham terbesarnya pula terdiri daripada institusi amanah rakyat seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Permodalan Nasional Berhad (PNB), Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) dan Tabung Haji, dana yang mengurus simpanan persaraan, dana awam dan amanah umat Islam,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Menurut Hisham, sebarang keputusan yang mengubah pemilikan, kawalan atau nilai strategik IJM secara langsung menyentuh kedaulatan ekonomi negara, keselamatan aset strategik dan masa depan pegangan ekuiti Bumiputera dalam sektor kritikal.
Beliau menambah, persoalan ini juga berkait secara langsung dengan semangat dan iltizam yang pernah dinyatakan dalam Kongres Ekonomi Bumiputera.
Katanya lagi, struktur cadangan ini menunjukkan bahawa Sunway tidak membeli IJM menggunakan wang tunai sebenar sebaliknya sebahagian besarnya melalui penerbitan saham Sunway sebagai bayaran.
“Di sinilah timbul isu paling kritikal. Dalam dunia kewangan korporat, harga saham bukan ukuran sebenar nilai syarikat. Ukuran yang lebih asas dan berdisiplin ialah NTA atau RNAV (Nilai Aset Bersih Ketara) iaitu nilai aset sebenar selepas ditolak semua liabiliti.
“NTA menjawab soalan mudah: jika semua aset dijual dan semua hutang dibayar, berapa nilai bersih sebenar yang tinggal?
“Bagi syarikat seperti IJM yang berasaskan aset fizikal dan konsesi infrastruktur, NTA atau RNAV ialah kompas sebenar bukan harga saham yang boleh naik turun mengikut sentimen pasaran,” katanya.
Tegas beliau, persoalan utama yang mesti dijawab ialah sama ada kita sedang menukar aset strategik sebenar negara dengan kertas saham yang nilainya hanya bergantung kepada pasaran.
Sejarah pasaran saham Malaysia sendiri telah menunjukkan bagaimana harga saham boleh merosot dengan ketara walaupun sesebuah syarikat masih mempunyai aset.
“YNH Berhad suatu ketika dahulu diniagakan pada harga beberapa ringgit namun dalam tempoh beberapa tahun sahamnya jatuh lebih 80 hingga 90 peratus.
“Ramai pelabur menyaksikan nilai pegangan mereka merosot dengan ketara walaupun pada kertas kira-kira syarikat masih mempunyai aset dan NTA yang jauh lebih tinggi daripada harga pasaran.
“Rapid Synergy Berhad pula pernah menyaksikan lonjakan harga saham yang pantas akibat sentimen dan spekulasi, tetapi apabila pasaran hilang keyakinan, harga sahamnya jatuh mendadak walaupun asas perniagaan tidak berubah secara dramatik,” katanya.
Menurutnya, dua contoh ini menunjukkan bahawa harga saham ialah penilaian pasaran sesaat, bukan nilai sebenar aset dan ia boleh berubah dengan cepat apabila keyakinan pasaran beralih arah.
Hisham turut mengingatkan, jika pengambilalihan ini diteruskan, pemegang saham institusi seperti KWSP, PNB, KWAP dan Tabung Haji akan menukar pegangan langsung dalam IJM kepada pegangan dalam saham Sunway.
“Nilai pegangan mereka selepas itu akan terikat sepenuhnya kepada turun naik harga saham Sunway.
“Dalam bahasa mudah, jika suatu hari nanti saham Sunway merosot dengan ketara seperti contoh-contoh yang pernah berlaku di pasaran, nilai 'bayaran' yang diterima untuk IJM juga akan turut merosot.
“Ini bermakna aset infrastruktur negara sedang ditukar dengan instrumen pasaran yang nilainya boleh berubah dengan ketara,” katanya.
DPMM Dewan Muda sekali lagi menegaskan bahawa urusniaga ini mesti dinilai berdasarkan pertukaran NTA-ke-NTA atau 'asset-to-asset', bukan sekadar perbandingan harga saham ke harga saham.
Hisham berkata, DPMM Dewan Muda mencadangkan supaya satu konsortium yang diterajui oleh Majlis Amanah Rakyat (Mara), Ekuiti Nasional Berhad (Ekuinas) dan Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) bersama institusi pelaburan berkaitan kerajaan dan pemain korporat Melayu dipertimbangkan bagi menilai pengambilalihan IJM.
Cadangan ini wajar dilihat selari dengan aspirasi pemerkasaan ekonomi Bumiputera yang telah dinyatakan oleh kerajaan.