Harga emas, perak melonjak ke paras tertinggi

Iklan
Harga emas dan perak melonjak ke paras tertinggi baharu pada Isnin. Foto hiasan

HARGA emas dan perak melonjak ke paras tertinggi baharu pada Isnin, manakala kebanyakan pasaran ekuiti global mencatatkan kejatuhan selepas Donald Trump menghidupkan semula kebimbangan perang perdagangan dengan mengancam beberapa negara Eropah melalui pengenaan tarif, susulan bantahan mereka terhadap usaha Amerika Syarikat untuk membeli Greenland.

Presiden Amerika Syarikat (AS) itu telah meningkatkan ketegangan geopolitik yang sememangnya sudah memuncak bulan ini apabila beliau bertegas bahawa Washington perlu mengambil alih pulau di Atlantik Utara itu atas alasan keselamatan negara.

Iklan
Iklan

Pada hari Sabtu, selepas rundingan gagal menyelesaikan apa yang disifatkan sebagai 'perbezaan asas' berhubung wilayah autonomi Denmark itu, beliau mengumumkan akan mengenakan cukai import baharu ke atas lapan negara kerana enggan akur dengan tuntutannya.

Trump berkata beliau akan mengenakan tarif sebanyak 10 peratus ke atas Denmark, Norway, Sweden, Perancis, Jerman, United Kingdom, Belanda dan Finland bermula 1 Februari dan meningkat kepada 25 peratus mulai 1 Jun, sekiranya negara-negara tersebut tidak bersetuju dengan pengambilalihan itu.

Iklan

Pengumuman tersebut mencetuskan reaksi segera, dengan negara-negara terbabit mengeluarkan kenyataan bersama yang menyatakan: “Ancaman tarif melemahkan hubungan transatlantik dan berisiko mencetuskan kitaran kemerosotan yang berbahaya.”

Langkah itu juga mengancam perjanjian perdagangan yang ditandatangani antara Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah (EU) tahun lalu, dengan Menteri Luar Jerman, Johann Wadephul, memberitahu stesen televisyen ARD: “Saya tidak percaya perjanjian ini masih boleh dilaksanakan dalam situasi semasa.”

Iklan

Sementara itu, pembantu kepada Presiden Perancis, Emmanuel Macron berkata, beliau akan meminta EU mengaktifkan satu mekanisme yang belum pernah digunakan sebelum ini, dikenali sebagai instrumen anti-paksaan terhadap Washington sekiranya Trump benar-benar melaksanakan ancaman tersebut.

Langkah itu membolehkan EU mengehadkan import barangan dan perkhidmatan ke dalam pasaran 27 negara anggota, yang mempunyai jumlah penduduk gabungan sekitar 450 juta orang.

Bloomberg melaporkan negara-negara anggota sedang membincangkan kemungkinan mengenakan tarif balas ke atas barangan AS bernilai €93 bilion (AS$108 bilion).

Prospek tercetusnya perang perdagangan antara kuasa ekonomi utama dunia itu menggoncang pasaran kewangan, dengan aset selamat terus mencatatkan kenaikan susulan ancaman Trump terhadap Iran minggu lalu serta penyingkiran Presiden Venezuela, Nicolas Maduro oleh AS.

Emas, yang sering menjadi pilihan pelabur ketika ketidaktentuan, melonjak ke paras tertinggi pada AS$4,690.59 (RM19,040), manakala perak mencecah AS$94.12 (RM382.13).

Di pasaran saham, Tokyo, Hong Kong, Shanghai, Sydney, Singapura dan Wellington mengalami kejatuhan, namun Seoul dan Taipei mencatatkan kenaikan.

Niaga hadapan pasaran Eropah dan AS turut merosot.

Dolar Amerika Syarikat juga melemah berbanding mata wang utama lain, dengan euro, pound sterling dan yen masing-masing mencatatkan pengukuhan.

Ketua Strategi Pelaburan di Saxo Markets Charu Chanana berkata, penanda aras seterusnya ialah sama ada perkara ini akan beralih daripada retorik kepada dasar sebenar, sebab itu tarikh-tarikh konkrit amat penting.

“Di pihak Eropah, laluan membuat keputusan sama penting dengan tajuk berita, kerana ada perbezaan antara sekadar menyebut instrumen anti-paksaan sebagai isyarat dan benar-benar melaksanakannya sebagai tindakan rasmi.

“Walaupun ancaman tarif segera mungkin dapat dirundingkan, risiko struktur yang lebih besar ialah perpecahan global yang terus meningkat, dengan perdagangan semakin dipolitikkan, rantaian bekalan bersyarat, serta risiko dasar yang lebih tinggi kepada syarikat dan pelabur,” katanya.

Tiada reaksi besar terhadap data yang menunjukkan ekonomi China berkembang sebanyak lima peratus tahun lalu, sejajar dengan sasaran kerajaan. Namun, pertumbuhan pada tiga bulan terakhir tahun tersebut perlahan dengan ketara berbanding suku sebelumnya.

Pelabur di Seoul dan Taipei pula tidak terlalu mengambil peduli amaran Setiausaha Perdagangan AS, Howard Lutnick, yang berkata pengeluar cip Korea Selatan dan syarikat Taiwan yang tidak melabur di Amerika Syarikat boleh dikenakan tarif sehingga 100 peratus sekiranya mereka tidak meningkatkan pengeluaran di negara itu. - AFP