PARA pemegang saham IJM Corp Bhd digesa supaya menolak tawaran pengambilalihan sukarela bersyarat oleh Sunway Bhd, berikutan harga tawaran yang tidak menarik serta metrik penilaian yang tidak memihak kepada IJM.
Kenanga Research berkata, harga tawaran tersebut gagal mencerminkan nilai intrinsik IJM kerana ia berada di bawah anggaran nilai saksama mereka iaitu RM3.40 sesaham.
Menurut firma penyelidikan itu, komponen pertukaran saham dalam tawaran tersebut membayangkan nisbah harga kepada pendapatan (PER) tahun 2026 sebanyak 27.6 kali bagi Sunway, yang disifatkan sebagai tinggi, berbanding PER 2026 sebanyak 19.4 kali bagi IJM berdasarkan tawaran berkenaan.
Berdasarkan harga sasaran Kenanga Research untuk Sunway iaitu RM4.73, nilai tersirat tawaran terhadap IJM hanyalah sekitar RM2.69, lebih rendah daripada harga saham semasa IJM sebanyak RM2.75 serta harga sasaran firma itu sendiri iaitu RM3.40.
“Walaupun kami berpandangan negatif terhadap harga tawaran ini, kami mengakui bahawa entiti yang diperbesarkan berpotensi meningkatkan kecekapan operasi, sekali gus memperbaiki margin pembinaan IJM, selain mewujudkan sinergi dalam segmen hartanah dan pembuatan industri,” kata Kenanga Research dalam satu nota penyelidikan.
IJM menyasarkan penambahan buku pesanan bernilai antara RM6 bilion hingga RM8 bilion bagi tahun kewangan 2026 (FY26), disokong oleh beberapa peluang berskala besar termasuk tiga projek pusat data, dua pembangunan industri serta projek perumahan penjawat awam Nusantara bernilai lebih RM1 bilion.
Syarikat itu juga menjangkakan untuk memperoleh satu lagi kontrak pusat data hyperscaler menjelang akhir FY26. Prospek utama lain termasuk Laluan LRT Mutiara Pulau Pinang (Pakej 2), kerja-kerja di Menara 118, peluasan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang serta projek jalan raya di Sarawak.
Kenanga Research mengekalkan unjuran pendapatannya dengan andaian kemenangan kontrak pembinaan sebanyak RM5 bilion setiap satu bagi FY26 dan FY27, sambil menambah bahawa pandangan positif mereka terhadap IJM disokong oleh keterlihatan pendapatan kumpulan yang kukuh.
Faktor sokongan termasuk buku pesanan pembinaan bernilai RM9.3 bilion, jualan hartanah baharu sebanyak RM187 juta pada suku pertama FY26, kepentingan strategik Pelabuhan Kuantan sebagai pelabuhan terbesar di Pantai Timur, serta potensi pelupusan aset lebuh raya bertol bagi mengukuhkan kedudukan kewangan dan membuka nilai.
Firma itu turut mengekalkan penarafan 'Outperform' ke atas IJM, dengan harga sasaran tidak berubah pada RM3.40.
Risiko penurunan termasuk kelemahan berterusan dalam aliran kontrak pembinaan, kemungkinan lebihan kos projek, liabiliti akibat ganti rugi ditetapkan (liquidated ascertained damages), serta peningkatan kos bahan binaan.
Sunway Bhd sebelum ini mengumumkan tawaran pengambilalihan sukarela bersyarat ke atas IJM Corporation Bhd dengan nilai keseluruhan kira-kira RM11 bilion.
Presiden Kumpulan Sunway, Datuk Anuar Taib berkata, menerusi tawaran tersebut, harga ditetapkan pada RM3.15 bagi setiap saham, yang mewakili premium 14.55 peratus berbanding harga penutup terakhir RM2.75.
Menurut Sunway Bhd, pertimbangan bagi tawaran itu akan diselesaikan melalui gabungan 10 peratus tunai dan 90 peratus menerusi penerbitan saham baharu Sunway pada harga terbitan RM5.65 sesaham.