Presiden UMNO pun boleh tarik balik kenyataan, DAP bila lagi? - Lian Ker

Iklan
Ti Lian Ker (gambar kecil) mempersoalkan kesediaan DAP untuk menarik balik kenyataan berhubung polemik berkaitan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara.

SHAH ALAM - Bekas Naib Presiden MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker mempersoalkan kesediaan DAP untuk menarik balik kenyataan berhubung polemik berkaitan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara.

Lian Ker berkata, tidak dinafikan sekarang isu itu tidak timbul namun pernah muncul dan menjadi panas ketika DAP berada sebagai pembangkang.

Iklan
Iklan

Menurutnya, ia tercetus apabila DAP menuntut pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) tanpa syarat, serta menolak tawaran Perdana Menteri pada masa itu untuk mengiktiraf dengan syarat kelulusan Bahasa Melayu dan Sejarah.

"Sejak itu, isu bahasa bukan lagi soal dasar, tetapi kesan daripada bahasa politik arkib DAP yang bernada tinggi dengan tuntutan politik DAP yang menimbulkan kemarahan.

Iklan

"Hakikatnya, polemik ini boleh diredakan dan ditutup sepenuhnya sekiranya DAP menarik balik tuntutan menjadikan bahasa lain setaraf dengan bahasa Melayu dan menerima secara terbuka syarat Bahasa Melayu serta Sejarah bagi pengiktirafan UEC.

"Selain itu, DAP perlu membersihkan atau mengarkibkan tuntutan politik lama yang bercanggah dengan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara. Presiden UMNO pun boleh tarik balik kenyataan, DAP bila lagi," ujarnya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Iklan

Sebelum ini, Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menarik balik kenyataan berhubung kewujudan 'Team A' dan 'Team B' dalam DAP, sekiranya ia menyinggung parti berkenaan.

Malah Presiden UMNO itu menjelaskan, apa yang dimaksudkan adalah bagi menjelaskan terdapat kenyataan-kenyataan bercanggah daripada segelintir pemimpin DAP terhadap isu yang dibangkitkan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh sebelum ini.

Tambah Lian Ker, selagi tuntutan politik tersebut masih dimuat turun dan dipaparkan di laman rasmi DAP, selagi itulah isu ini akan terus digali dan dipolitikkan.

Jelasnya, lebih penting, selagi DAP tidak mengakui ketelanjuran politik dan bahasa politik mereka pada masa lalu, termasuk retorik yang dilihat mencabar kedudukan bahasa Melayu, polemik bahasa akan berterusan.

"Hari ini, Melayu tak mudah lupa. Kesan politik DAP selama ini adalah keresahan dan kecurigaan masyarakat Melayu terhadap DAP yang berterusan dan prasangka terhadap masyarakat Cina yang kebanyakkannya menyokong DAP terheret, walaupun isu sebenar adalah politik parti, bukan kaum.

"Isu ini tidak lagi dibangkitkan oleh DAP, tetapi masih hidup dalam warisan politik DAP yang belum dinoktahkan.

"Selagi warisan itu tidak diselesaikan, polemik bahasa dan syak wasangka tidak akan reda," jelasnya.