Amanah terbuka usaha perpaduan Melayu, tetapkan garis merah nilai Madani

Iklan
Mujahid

SHAH ALAM - Parti Amanah Negara (Amanah) sentiasa terbuka terhadap sebarang usaha memartabatkan perpaduan ummah, namun menegaskan bahawa perpaduan itu tidak boleh berlaku dalam vakum nilai serta mesti berteraskan prinsip Madani dan Rahmah.

Timbalan Presidennya, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, pendirian itu diambil susulan cadangan kolaborasi agung dan visi UMNO sebagai rumah bangsa yang dibentangkan pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025/2026 baru-baru ini.

Iklan
Iklan

Menurutnya, sebarang bentuk kerjasama politik perlu mempunyai garis merah yang jelas dan tidak boleh dilanggar oleh mana-mana pihak.

"Perpaduan mestilah inklusif, bukan berteraskan assabiyah. Kekuatan Melayu adalah untuk melindungi semua rakyat Malaysia, selaras dengan prinsip Rahmatan lil 'Alamin yang kami perjuangkan," ujarnya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Iklan

Mujahid turut menegaskan Amanah menolak sebarang kerjasama yang dijadikan perisai untuk melindungi individu daripada tindakan undang-undang atau menutup isu integriti dan tata kelola.

Jelasnya, sebarang usaha penyatuan juga tidak boleh digunakan untuk menggugat kestabilan Kerajaan Perpaduan atau dimanipulasi sebagai taktik pintu belakang, sambil menegaskan bahawa mandat rakyat wajib dihormati.

Iklan

Dalam masa sama, beliau berkata, rakyat menuntut penyelesaian substantif melibatkan isu ekonomi, sosial dan pendidikan, bukannya sekadar konsolidasi kuasa elit politik Melayu.

"Amanah percaya bahawa penyatuan bangsa hanya dapat dicapai apabila kepimpinan Melayu membuktikan diri sebagai kepimpinan qudwah yang adil dan amanah untuk semua," ujarnya.

Mujahid turut mengingatkan kepentingan berpegang kepada prinsip perpaduan seperti terkandung dalam firman ALLAH, “Berpegang teguhlah kamu dengan tali Allah dan jangan bercerai-berai,” seperti disebut dalam Surah Ali Imran ayat 103.