'Kolaborasi Agung, Rumah Bangsa dengar hebat tapi kurang meyakinkan' - Ahmad Fadhli

Iklan
Ahmad Fadhli

SHAH ALAM – Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari berpendapat Kolaborasi Agung dan Rumah Bangsa masih kurang meyakinkan, terutama dari sudut hala tuju serta matlamat akhir, walaupun istilahnya kedengaran hebat.

Ahmad Fadhli berkata, turut menjadi persoalan ialah sama ada Rumah Bangsa itu berkait atau tidak dengan kerjasama dan gerak kerja politik, ataupun ia hanyalah proses dalaman UMNO, yakni usaha pengukuhan semula parti serta penyatuan ahli.

Iklan
Iklan

Menurutnya, Kolaborasi Agung pula kelihatan sebagai satu idea yang berbeza, barangkali bertujuan menghimpunkan parti politik Melayu yang kemudiannya dijenamakan sebagai Musyawarah Nasional.

"Namun, persoalan yang masih berbaki ialah, apakah hala tuju politik sebenar gagasan ini? Jika benar ia sekadar 'kolaborasi', maka mengapa ia perlu direalisasikan sebelum Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16)?

Iklan

"Dengan lebih jelas, mengapa ia perlu dikaitkan secara langsung dengan pilihan raya? Jadikanlah ia kerjasama bagi tujuan sosial atau kemasyarakatan, seperti kenduri besar atau himpunan muafakat, tanpa sebarang matlamat politik.

"Kita tunggu sahaja sejauh mana idea ini akan dikembangkan," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Iklan

Sebelum ini, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika menggulung ucapan dasar presiden sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) pada Sabtu, menyatakan hasrat untuk membentuk grand collaboration atau Kolaborasi Agung bagi menyatukan parti politik Melayu dan Islam di negara ini.

Mengulas lanjut Ahmad Fadhli berkata, timbul kegusaran tentang sejauh mana ketegasan gagasan Kolaborasi Agung ini mampu dipertahankan kelak, susulan insiden Ahmad Zahid menarik balik sebahagian ucapannya berhubung isu 'Team A dan Team B dalam DAP' selepas disanggah oleh Setiausaha Agung DAP.

"Jika ucapan paling penting seorang presiden parti di hadapan seluruh perwakilan yang boleh dianggap sebagai amanat agung pun boleh disanggah dan akhirnya ditarik balik, maka apakah jaminan Kolaborasi Agung tidak akan berdepan penolakan dan sanggahan yang sama?

"Jika penegasan seorang Timbalan Presiden bahawa UMNO kononnya tidak pernah bekerjasama dengan DAP pun boleh disanggah secara terbuka, maka ke arah mana 'kejantanan' Rumah Bangsa mahu dijulang?

"Mujur kenyataan itu belum lagi ditarik balik oleh Timbalan Presiden UMNO," ujarnya.

Beliau menambah, secara keseluruhannya, Kolaborasi Agung dan Rumah Bangsa pada hakikatnya masih berupa idea yang belum jelas bentuk dan hala tujunya.

"Namanya hebat, tetapi isinya belum meyakinkan. Di pihak kita, terus bekerja, dan kita jadikan Kerajaan Madani paling lama bertahan pun hanyalah sepenggal, insya-ALLAH," katanya.